SEBUAH rumah dua tingkat, sebuah kereta dan dua motosikal hangus dijilat api bersama sejumlah barangan kemas di Kampung Dato Musa, Simpang Empat pagi tadi. FOTO Ihsan bomba
SEBUAH rumah dua tingkat, sebuah kereta dan dua motosikal hangus dijilat api bersama sejumlah barangan kemas di Kampung Dato Musa, Simpang Empat pagi tadi. FOTO Ihsan bomba
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

LIMA beranak dari Kampung Dato Ahmad Musa, Simpang Empat, Kangar tidak dapat menahan kesedihan apabila rumah didiami mereka sejak 40 tahun lalu musnah dalam kebakaran, hari ini.

Dalam kebakaran 10 pagi itu, sebuah rumah dua tingkat, sebuah kereta dan dua motosikal hangus dijilat api bersama sejumlah barangan kemas.

Mangsa, Masury Chin, 59, berkata kejadian itu ujian kedua terbesar dihadapinya berikutan dia menghidapi penyakit barah sejak tahun lalu.

"Atas faktor penyakit dihidapi, saya tinggal bersama saudara terdekat di sekitar kawasan sini sebelum pulang bagi menjenguk keadaan rumah pagi tadi.

"Ketika kebakaran itu berlaku, saya berada di bilik bahagian bawah rumah manakala suami ke klinik untuk mengambil ubat.

"Tiba-tiba rumah dipenuhi asap dan saya sempat melihat kotak suis utama di tingkat atas terbakar sebelum keluar menyelamatkan diri," katanya.

Suami Masury, Rahim Bakar, 66, berkata kerugian dialaminya dianggarkan bernilai RM200,000 berikutan barangan keperluan dan berharga tidak sempat diselamatkan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Empat, BBP Kangar dan BBP Kuala Perlis dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Dua jentera Fire Rescue Tender, satu Water Tanker, dua kenderaan Utiliti JBPM bersama satu EMRS JBPM turut digunakan bagi memadamkan kebakaran.

"Api berjaya dikawal satu setengah jam kemudian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 4:26 PM