FUAD menyaksikan  penyerahan dokumen berkaitan PPS daripada pegawai PPS Penjara Taiping, Shah Rizal Ahmad (kanan) kepada majikan baharunya (kiri, berbaju merah). FOTO  Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
FUAD menyaksikan penyerahan dokumen berkaitan PPS daripada pegawai PPS Penjara Taiping, Shah Rizal Ahmad (kanan) kepada majikan baharunya (kiri, berbaju merah). FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


"SYUKUR ada pihak sudi menerima bekas banduan seperti kami bekerja biarpun persepsi masyarakat umumnya sering dilihat negatif sehingga kami dipinggirkan," kata bekas banduan dikenali sebagai Fuad, hari ini.

Fuad, 32, antara empat bekas banduan Penjara Taiping diterima bekerja dalam sektor pembinaan di syarikat swasta di Nilai, Negeri Sembilan melalui Program Penempatan Semula (PPS) Jabatan Penjara Malaysia untuk bekas banduan.

Menyifatkan tawaran itu sebagai peluang untuknya berubah, Fuad yang sebelum ini dihukum penjara lapan bulan atas kesalahan berkaitan dadah berkata, peluang itu bakal digarap sebaik mungkin dan mengelak daripada kembali terjebak melakukan kesalahan itu.

Menurutnya, dia terharu dengan peluang itu yang dianggap sebagai pencetus kepada penerimaan masyarakat terhadap banduan dalam usaha membina kehidupan baru dengan masa depan lebih baik.

"Saya tidak lagi buntu memikirkan penerimaan masyarakat dan mencari kerja untuk menyara keluarga.

"Setiap manusia pasti pernah melakukan kesilapan. Saya harapkan masyarakat dapat mengubah persepsi terhadap kami kerana ada sahaja bekas banduan yang insaf dan bertaubat daripada mengulangi kesalahan lama," katanya pada Majlis Penyerahan Bekas Banduan kepada Majikan di Penjara Taiping, hari ini.

Penyerahan keempat-empat banduan terbabit dilakukan Pengarah Penjara Taiping, Mohd Farid Kassim.

Sementara itu, Kassim berkata, seramai 45 banduan Penjara Taiping terbabit dalam PPS yang dilaksanakan di penjara terbabit sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, program PPS yang membabitkan kerjasama syarikat swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) dilakukan sebagai usaha sukarela pihak penjara untuk pemulihan bekas banduan supaya mereka kembali diterima dalam masyarakat.

Menurutnya, antara manfaat diperoleh syarikat atau NGO menyertai PPS adalah mendapat pelepasan cukai pendapatan sehingga RM4,000 bagi setiap banduan diambil selain pinjaman tanpa syarat bagi bekas banduan yang ingin membuka perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 7:17 PM