Superintendan Hasan Basri meninjau keadaan trafik di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Superintendan Hasan Basri meninjau keadaan trafik di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


POLIS Melaka mengekalkan tiga sekatan jalan raya (SJR) di negeri itu bagi mengekang aktiviti penyeludupan keluar dan masuk pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Hasan Basri berkata, tiga lokasi berkenaan di Kuala Linggi dan Pengkalan Balak, Alor Gajah serta satu di Sungai Rambai, Jasin yang dikesan menjadi lokasi 'panas' penyeludupan migran terutama melalui jalan laut.

Katanya, SJR berkenaan akan beroperasi 24 jam dengan memberi fokus kepada aliran trafik rentas negeri yang dijangka meningkat menjelang hujung minggu ini.

"Bukan sahaja tumpuan di laluan lebuh raya, pasukan peronda juga akan membuat pemantauan ketat di kawasan tumpuan pelancong terutama di sekitar bandar raya Melaka.

"Sehubungan itu, kami menasihatkan sesiapa yang masuk ke negeri ini supaya berhati-hati dan berhemah semasa berada di jalan raya," katanya selepas melakukan tinjauan aliran trafik rentas negeri di Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasan berkata, aliran trafik di tiga plaza tol utama di negeri itu didapati meningkat selepas jam 12 tengah hari.

Katanya, pihaknya akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula semalam hingga 31 Ogos ini.

PKPP antara lain membenarkan pergerakan rentas negeri selain beberapa lagi aktiviti yang sebelum ini disekat sudah dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 6:53 PM