PASUKAN polis dari IPD Penampang menjalankan Op Mabuk di kedua-dua arah di Jalan Bundusan, Penampang. - FOTO / JUWAN RIDUAN
PASUKAN polis dari IPD Penampang menjalankan Op Mabuk di kedua-dua arah di Jalan Bundusan, Penampang. - FOTO / JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


LIMA lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan dalam sekatan jalan raya Op Mabuk di kedua-dua arah Jalan Bundusan, Penampang, awal pagi tadi.

Operasi yang bermula jam 9 malam hingga 1 pagi itu turut menyaksikan polis mengeluarkan 19 saman pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan terhadap 95 kenderaan.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, seramai 115 individu diperiksa membabitkan 95 lelaki dan 20 wanita.

Katanya, lima pemandu lelaki berusia 25 hingga 59 tahun yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.

"Dalam operasi ini, polis turut mengeluarkan 19 saman atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

"Selain itu, kesalahan lain yang dikesan membabitkan ubah suai ekzos dan kesalahan nombor pendaftaran, tiada perlindungan insurans serta kegagalan lampu brek," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehubungan itu, Mohd Haris menasihati pengguna jalan raya supaya mengambil serius dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap keselamatan diri sendiri dan orang lain kerana kesan memandu di bawah pengaruh alkohol amat membahayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 6:16 PM