KEMALANGAN yang menyebabkan seorang lelaki maut disyaki dilanggar lelaki mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara, pada 1 Jun lalu. FOTO Ihsan FB
KEMALANGAN yang menyebabkan seorang lelaki maut disyaki dilanggar lelaki mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara, pada 1 Jun lalu. FOTO Ihsan FB
M Hifzuddin Ikhsan


KERAJAAN Kedah sedia mengikut langkah Kerajaan Persekutuan dalam menentukan hukuman ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan mahupun kematian orang awam.

Menteri Besarnya Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penting kerajaan menjaga nyawa orang awam, berbanding beberapa individu yang gemar minum dan mabuk sehingga membahayakan pihak lain.

Katanya, hukum Islam jelas mengharamkan umatnya meminum arak, namun agama syumul itu tidak boleh menghalang amalan masyarakat bukan Islam dalam negara.

"Isu pemandu mabuk ini banyak di Kuala Lumpur, di Kedah kurang. (Tapi) Kita perlu bersikap adil kepada masyarakat bukan Islam serta tidak boleh halang (minum arak).

"Dalam isu pemandu mabuk, Kedah sokong ketetapan Pusat dalam menjaga nyawa orang ramai kerana nyawa lebih penting daripada seorang dua yang suka minum (arak).

"Cadangan bagi meningkatkan hukuman dan pampasan dibayar kepada keluarga mangsa adalah munasabah untuk dipertimbang, kita serah kepada Pusat kerana ia di bawah bidang kuasa mereka," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Ia sebagai maklum balas kepada keresahan rakyat mengenai kes kemalangan akibat pemandu mabuk yang mana statistik polis menunjukkan 21 kes dengan lapan kematian bagi lima bulan pertama tahun ini.

Mengulas mengenai langkah Wilayah Persekutuan membekukan permohonan baharu lesen minuman keras serta merta, Muhammad Sanusi menjelaskan lesen penjualan arak adalah di bawah Kementerian Kewangan.

"Jika Kementerian Kewangan tidak meluluskan lesen baharu berkenaan, tidak ada keperluan kepada kita (kerajaan negeri) mengeluarkan lesen premis kepada mereka.

"Mengambil model Kelantan, premis di sana juga ada menjual arak tetapi dihadkan kepada bukan Islam sahaja," katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri mengumumkan bantuan RM1.23 juta kepada 4,146 guru sekolah persendirian yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

"Kerajaan negeri sudah meluluskan bantuan kepada guru sekolah rendah dan menengah agama, tahfiz dan pra sekolah yang gaji mereka bergantung kepada kutipan yuran persekolahan.

"Kita juga menasihatkan pemilik sekolah persendirian ini agar berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) bagi membolehkan bantuan lain mengikut bilangan pelajar disalurkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 4:05 PM