FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Zuhainy Zulkiffli


PERGERAKAN Anti-Arak Murah menggesa kerajaan mengharamkan penjualan arak murah di pasaran bagi mengekang masalah sosial khususnya isu pemandu mabuk di jalan raya.

Malah, kerajaan juga digesa supaya membatalkan semua jenis lesen arak runcit di bawah Akta Eksais 1976 dan wujudkan lesen khas yang hanya boleh menjual arak dalam premis yang dilesenkan.

Ketua Pergerakannya P David Marshel berkata, pengambilan arak murah atau tiruan hanya menjadi permulaan bagi belia, khususnya terjebak dengan masalah sosial.

Katanya, penjualan arak murah serendah RM5 dengan kandungan 40 peratus alkohol bagi botol 125 mililiter (ml) mudah diperoleh di pasaran dan segelintir golongan B40 turut mendapatkannya.

"Jika kemalangan disebabkan pemandu mabuk dengan satu kematian, dianggarkan sebanyak 20 kematian disebabkan kerosakan organ dalam badan, khususnya hati berikutan pengambilan arak murah di pasaran.

"Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan perlu menetapkan harga siling supaya minuman keras tidak boleh dijual di bawah harga RM50 di pasaran," katanya hari ini.

Mengulas lanjut David berkata, walaupun pelbagai pihak termasuk ahli politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis sudah menyuarakan pelbagai pendapat, namun isu pemandu mabuk di jalan raya masih belum dapat ditangani secara holistik.

Katanya, sudah tiba masa kerajaan menggubal undang-undang yang sudah tidak sesuai dan konsisten dengan peredaran masa.

"Negara ini masih menggunapakai Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan sedangkan Seksyen 304, Kanun Keseksaan lebih sesuai dan boleh mempertimbangkan bagi kesalahan itu.

"Kami tidak setuju dengan hukuman denda wang ringgit, malah mereka perlu dipenjara maksimum seumur hidup jika didapati bersalah dan hukuman beginilah yang mampu mengekang isu kemalangan disebabkan pemandu mabuk," katanya.

Sehubungan itu, terdapat beberapa cadangan daripada pihaknya termasuk membatalkan lesen arak jenis runcit bagi mengawal pembelian arak murah khususnya dalam kalangan belia.

Selain memperkenalkan lesen khas bagi memudahkan penguatkuasaan, penjualannya perlu melebihi 300 meter radius daripada institusi pentadbiran, rumah ibadat, sekolah, hospital dan kawasan perumahan.

Masa penjualan arak juga perlu dikaji semula daripada seawal 7 pagi hingga 9 malam kepada 10 pagi hingga 8 malam bagi lesen khas arak yang dicadangkan.

"Pengambilan arak bukan sahaja menyebabkan pelbagai masalah sosial, tetapi juga boleh memberi kesan terhadap kekeluargaan, perceraian selain kekacauan di tempat awam.

"Kami juga sedia membantu kerajaan sekiranya ingin maklumat atau cadangan secara terperinci mengenai

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 2:48 PM