GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


TIGA lelaki yang terbabit dalam insiden membaling bom petrol atau molotov cocktail di Manjung, Perak sebagaimana tular di media sosial berkaitan kes pinjaman ceti haram, baru-baru ini, sudah ditahan polis dalam serbuan berasingan kelmarin dan semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pada 24 Mei lalu tular di media sosial dua klip video menunjukkan seorang lelaki membaling bom petrol ke dalam kawasan sebuah rumah menyebabkan kereta Toyota Vios di kediaman itu terbakar.

Menurutnya, susulan penularan video itu, D7 Bukit Aman menjalankan siasatan awal ke atas klip video berkenaan dan mendapati kejadian itu berlaku di Manjung, Perak pada 17 dan 22 Mei lalu.

"Siasatan lanjut mendapati, ia berkaitan pinjaman wang oleh ahli keluarga pemilik rumah di negara jiran, malah sebelum itu kediaman terbabit juga pernah dibaling cat.

"Dalam insiden 22 Mei itu, seorang lelaki membaling bom petrol sehingga menyebabkan kereta terbakar dan susulan itu kami menahan suspek berusia 24 tahu di Bercham, Selatan Ipoh, Perak, 7.30 pagi kelmarin," katanya kepada media, hari ini.

Mohd Zani berkata, soal siasat kemudian membolehkan pihaknya menahan seorang lagi lelaki berusia 23 tahun di Menglembu, Ipoh, Perak, 9.30 malam pada hari sama.

"Siasatan mendapati mereka terbabit dalam insiden itu dan seterusnya membawa kepada penangkapan suspek ketiga di Seri Kembangan, Selangor, 2.30 petang semalam.

"Kita juga ada bukti mereka terbabit dalam kes sama membabitkan empat kes di Ipoh, dua kes di Manjung, dua kes di Batu Gajah, satu kes di Tapah dan satu kes di Sungai Siput," katanya.

Beliau berkata, mereka juga memiliki rekod jenayah lampau dan diupah ceti haram di negara jiran untuk mengugut peminjam dan ahli keluarga mereka.

"Rakaman klip video itu bukti mereka menjalankan tugas dan peminjam yang gagal membuat bayaran tidak akan terlepas.

"Kita juga masih memburu dua lagi suspek dan turut menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di Alor Setar, Kedah kelmarin bersabit siasatan kes tular klip video terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 5:23 PM