Dziyaul Afnan Abdul Rahman


TIGA lelaki ditahan ketika leka meleraikan komponen motosikal milik wanita orang kurang upaya (OKU) yang dicuri di sebuah rumah di Kurong Anai, Arau, semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, dalam serbuan pada 8.30 malam, semua suspek berusia antara 20 hingga 35 tahun tidak sempat melarikan diri.

Menurutnya, motosikal itu dipercayai dicuri di rumah mangsa di Kampung Kebun, Arau, kelmarin.

Katanya, suspek dipercayai meleraikan komponen motosikal itu untuk dijual sebagai alat ganti.

“Pemeriksaan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan kecurian dan polis masih menyiasat jika mereka terbabit dalam sembilan kes kecurian motosikal lain di daerah Arau.

“Hasil ujian air kencing yang dilakukan ke atas semua suspek mendapati mereka juga positif dadah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, kesemua mereka direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

TIGA direman empat hari selepas terbabit dalam kes curi motosikal sewaktu PKP di Arau. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
TIGA direman empat hari selepas terbabit dalam kes curi motosikal sewaktu PKP di Arau. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Peraturan 6(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (langkah-langkah di dalam kawalan tempatan jangkitan 2020).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 1:34 PM