ANTARA aksi kumpulan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA aksi kumpulan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN enam 'mat rempit' berlumba di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang, di Kuala Lumpur, mengundang padah apabila mereka ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya melakukan operasi itu bermula 12 tengah malam hingga jam 3 pagi.

"Dalam operasi ini, kami menahan enam lelaki berusia antara 18 hingga 30 tahun yang didapati menunggang motosikal secara melulu dan melakukan aksi berbahaya di lokasi berkenaan.

"Antara aksi yang dilakukan adalah 'fly', 'Superman', 'zig zag', roket dan bersaing sesama sendiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada pekerja penghantar makanan, pemandu lori, peniaga, pengawal keselamatan, penganggur dan pekerja penghantar barang secara sambilan.

"Semakan mendapati tiga daripada enam lelaki berkenaan mereka tidak mempunyai lesen.

"Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 8:23 AM