Elly Mazlein
Elly Mazlein
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, pelakon dan pengacara, Elly Mazlein menyeru netizen supaya sentiasa berfikir sebelum menulis sesuatu komen di media sosial.

Elly berkata, sikap buli siber netizen bukan hanya memberi kesan masa pendek, tetapi juga kesan jangka panjang terhadap individu yang menjadi mangsa buli.

"Sebagai manusia terutamanya selebriti, tentunya ada orang suka dan ada orang yang tak suka kita. Itu memang tak dapat dielakkan. Tapi, netizen juga adalah manusia dan perlu sentiasa berfikir sebelum menulis sesuatu komen di media sosial kerana ia mampu memberi kesan negatif kepada mental orang yang menjadi mangsa kecaman," katanya kepada Harian Metro.

Elly yang menggalas tugas sebagai Presiden Netizen dalam program Big Stage 2020 mengakui melihat pelbagai komen dengan kata-kata yang tidak sepatutnya di media sosial.

"Semua orang boleh nak melontarkan pendapat atau mengekspresikan diri mereka terhadap seseorang. Namun, biarlah ia sesuatu yang membina. Kalau sampai keluarkan kata-kata kesat, menghakimi syurga neraka seseorang, rasanya itu bukanlah satu tindakan yang baik kerana kita sesama manusia," katanya.

Dia yang pernah berada dalam program realiti juga tidak menolak, kecaman dan buli siber daripada netizen mampu menjatuhkan semangat seseorang peserta.

"Saya pernah menjadi peserta dalam pertandingan realiti TV sebelum ini dan kecaman daripada netizen itu sedikit sebanyak menjatuhkan semangat saya.

"Sebab itulah sekarang saya lebih selesa untuk menyekat akaun yang selalu meninggalkan komen keterlaluan kerana tak mahu ada aura negatif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 4:38 PM