Ekhwan Haque Fazlul Haque


WALAUPUN sudah diberikan peringatan berulang kali namun masih ada individu yang mengambil risiko merentas negeri.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga semalam 1,158 kenderaan yang cuba merentas negeri diarahkan untuk berpatah balik.

Menurutnya, jumlah itu menurun sedikit berbanding kelmarin yang mencatat jumlah kenderaan sebanyak 1,613 kenderaan.

"Bagi mengelak individu merentas negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan 162 sekatan jalan raya (SJR) seluruh negara.

"Dalam SJR itu juga, sebanyak 157,364 kenderaan diperiksa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Selangor menjadi negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri tertinggi dengan 460 kes diikuti Melaka (121) dan Negeri Sembilan (95).

ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam tugasan Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Tol Juru, Lebuhraya Utara Selatan. FOTO Danial Saad
ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam tugasan Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Tol Juru, Lebuhraya Utara Selatan. FOTO Danial Saad

Dalam pada itu, polis menahan 156 individu semalam dengan 50 daripadanya direman kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

"Semua pihak diingatkan supaya mematuhi SOP dan peraturan yang ditetapkan selain kawalann kendiri untuk memerangi pandemik Covid-29," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini 40,264 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara kini menjalani kuarantin wajib sejak 3 April lalu dengan 32,287 individu sudah selesai menjalani kuarantin dan dibenarkan pulang.


  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 4:11 PM