Mohamed Farid Noh


PREMIS atau gedung pakaian yang menawarkan harga mampu milik menjadi tumpuan warga Bandaraya Johor Bahru membeli persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Tinjauan di Bandar Baru Uda dan Tampoi mendapati orang ramai sudah memenuhi dan beratur di hadapan premis pakaian yang menawarkan harga mampu milik bagi membuat persiapan saat akhir.

Orang ramai juga dilihat sabar beratur di hadapan premis kerana perlu menunggu giliran berikutan hanya 20 pelanggan atau kurang dibenarkan memasuki kedai pada satu-satu masa.

Pekerja swasta, Wan Nor Amira Wan Ngah, 31, berkata, dia dan keluarga membuat persiapan ala kadar bagi menyambut Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Tahun ini kami memutuskan untuk bersederhana dan berjimat apatah lagi hari raya kali ini hanya disambut di rumah bersama keluarga sahaja.

"Lebih baik dahulukan keperluan lebih penting atau simpan wang bagi kegunaan kecemasan," katanya.

Premis atau gedung pakaian yang menawarkan produk dengan harga mampu milik menjadi tumpuan warga bandar raya ini bagi membuat persiapan Aidilfitri, minggu depan. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Premis atau gedung pakaian yang menawarkan produk dengan harga mampu milik menjadi tumpuan warga bandar raya ini bagi membuat persiapan Aidilfitri, minggu depan. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN

Seorang guru, Norahida Ahmad, 37, berkata dia juga memilih pakaian dengan harga mampu milik untuk hari raya tahun ini sebagai berjimat.

"Baju raya tahun lalu masih elok dan boleh dipakai. Hari ini saya hanya mencari tudung baharu yang ditawarkan dengan harga murah.

"Sebenarnya hendak keluar berbelanja pun risau jadi saya tidak mahu terlalu lama di luar terutamanya ketika wabak Covid-19 masih melanda," katanya.

Sementara itu, pembantu kedai, Maizatul Ain Abd Rahman, berkata pelanggan mula ramai sejak Jumaat lalu.

"Ketika kedai dibuka 4 Mei lalu, tidak ramai pelanggan yang datang, namun sejak Jumaat lalu ramai pula pelanggan mula berbelanja," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 2:19 PM