Ariffin bersama isteri Harlina dan anak perempuan mereka di rumah mereka di Kampung Banting, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Ariffin bersama isteri Harlina dan anak perempuan mereka di rumah mereka di Kampung Banting, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


SELEPAS bahu kanannya cedera akibat ditimpa sabit sawit dua tahun lalu, seorang petani di Kampung Banting, Sabak Bernam ditimpa ujian apabila isterinya pula disahkan menghidap kanser tulang tahap empat.

Bagaimanapun, Ariffin Abd Hamid, 55, cekal menghadapi ujian Allah dengan menguruskan Harlina Mohd Twan, 42 yang kini hanya berkerusi roda.

Menurut Ariffin, dia menerima 14 jahitan susulan kejadian itu dan kini tidak lagi mampu membuat sebarang pekerjaan berat.

Bercerita lanjut, bapa kepada lapan anak berusia satu setengah tahun hingga 21 tahun berkata, sebelum ini, isterinya disahkan menghidap kanser payu dara tahap kedua ketika mengandungkan anak bongsu mereka, dua tahun lalu.

"Luluh hati saya sebaik doktor memaklumkan isteri menghidap penyakit paling digeruni itu. Kebetulan, kandungan isteri berusia empat bulan dan dia terpaksa menjalani pembedahan membuang sel kanser bagi mengelak ia merebak ke organ lain.

"Selepas pembedahan, dia menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali iaitu tiga kali sebelum bersalin dan tiga kali selepas bersalin menyebabkan rambutnya gugur.

"Malah, isteri juga perlu berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi rawatan kemoterapi tiga minggu sekali dan memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi," katanya ketika ditemui, hari ini.

Ariffin berkata, dia menyangka keadaan kembali normal selepas Harlina bersalin sehinggalah doktor memaklumkan isterinya menghidap kanser tulang tahap empat, dua bulan lalu.

"Tiada siapa yang mampu melawan takdir Allah. Air mata saya jatuh apabila isteri menangis kerana tidak mampu menahan kesakitan yang dialaminya.

"Malah, ketika doktor memaklumkan perbelanjaan yang perlu ditanggung, saya buntu seketika hingga terpaksa menjual van kesayangan saya tahun lalu demi mendapatkan wang.

"Mujur ahli keluarga dan sahabat handai bersimpati dengan keadaan yang menimpa isteri. Saya bersyukur mereka menghulurkan bantuan kewangan dan sokongan supaya bersabar dengan ujian ini," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai persekolahan anak-anak, Ariffin memaklumkan enam daripada lapan anaknya masih bersekolah.

Kata Ariffin, anak sulungnya, Fatin Nursyafiqa, 21, pernah menerima tawaran menyambung pelajaran ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada Julai tahun lalu, namun terpaksa ditolak berikutan keadaan yang menimpa Harlina.

"Ketika kawan-kawan lain menyambung pelajaran, dia (Fatin) sukarela membantu menjaga isteri dan adik-beradiknya di rumah ketika saya sedang bekerja," katanya.

Ariffin berkata, semua ujian itu menjadikan sambutan Ramadan dan Aidilfitri disambut secara sederhana pada tahun ini.

"Saya dan keluarga reda dengan ujian ini. Saban hari kami berdoa agar isteri cepat sembuh dari penyakit yang dialaminya dan berharap dapat menikmati suasana seperti dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 4:36 PM