FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SLOGAN 'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu' diangkat sebagai tema sambutan Hari Guru yang akan disambut 16 Mei depan.

Kementerian Pendidikan berkata, pemilihan tema itu diyakini dapat memberi semangat baharu kepada guru serta murid dan seterusnya membentuk masyarakat yang menuntut ilmu dengan ikhlas.

Menurutnya, seperti tahun sebelumnya, tarikh 16 Mei tanda memperingati dan menghargai pengorbanan guru dalam mendidik, membimbing serta membentuk anak bangsa.

"Tema ini menyentuh peranan guru memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

"Guru adalah insan yang sentiasa dahagakan ilmu dan tidak jemu memperlengkap dirinya dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran dan nilai sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, dalam konteks berguru, ilmu perlu diperoleh daripada seseorang yang mempunyai kepakaran serta berasaskan sumber yang betul, sahih dan berwibawa.

Tambahnya, murid perlu menginsafi bahawa tidak ada manusia yang mencapai kejayaan di dunia ini tanpa kehadiran insan bergelar guru.

"Guru juga insan yang banyak membentuk karakter dan keperibadian seseorang.

"Seseorang yang berguru dengan niat ikhlas untuk mendapatkan ilmu akan terus berusaha meningkatkan kefahaman dan berusaha meneroka bidang ilmu baharu.

"Cinta kepada ilmu akan melahirkan generasi baharu yang lebih gemilang dalam pelbagai aspek kehidupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 9:08 PM