MOHD Shafie. FOTO Arkib NSTP
MOHD Shafie. FOTO Arkib NSTP
Hazsyah Abdul Rahman


KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan surat undi percaya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad memiliki majoriti sebagai Perdana Menteri seperti yang tular di media sosial.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut dan berkata, tunggu ketika persidangan Dewan Rakyat kelak.

"Kita tunggulah bila sampai masanya di sidang dewan," katanya pada sidang media selepas melawat Ladang dan Kilang Padi di Beluran, hari ini.

Ketika ditanya wartawan sama ada beliau mengesahkan surat yang tular itu, Mohd Shafie menjawab ringkas, "Ya."

Terdahulu, satu surat bertarikh 1 Mei ditujukan kepada Speaker Dewan Rakyat l, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkaitan permohonan membawa usul dan resolusi bagi membuat ketetapan bahawa Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir mempunyai keyakinan majoriti Ahli Dewan.

Menurut surat itu juga, permohonan berkenaan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 26 (1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27 (3) dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Difahamkan, pengumuman mengenai surat itu akan dibuat esok dan Dewan Rakyat akan bersidang pada 18 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 4:20 PM