DATUK Huzir (kanan) memegang kod respon pantas (QR) untuk orang ramai yang memohon pergerakkan antara negeri. FOTO Fathil Asri
DATUK Huzir (kanan) memegang kod respon pantas (QR) untuk orang ramai yang memohon pergerakkan antara negeri. FOTO Fathil Asri
Nurul Hidayah Bahaudin


ORANG ramai yang memohon pergerakan antara negeri diminta mengemas kini maklumat pada aplikasi Gerak Malaysia versi 2.5 bagi menjana kod respon pantas (QR) sebaik permohonan diluluskan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, pendekatan itu diambil selepas pihaknya mendapati hanya 148,516 individu daripada 503,276 individu yang membuat pengesahan pergerakan antara negeri sebelum ini.

"Sebelum ini, kami memaklumkan tiada kelulusan menerusi kod QR diberikan kepada individu yang memohon. Bagaimanapun, kami mendapati ramai individu tidak mengemas kini maklumat mereka.

"Terjadi dua faktor yang mendorong kepada situasi ini iaitu orang ramai beranggapan mereka boleh bergerak selepas membuat permohonan tanpa perlu kelulusan selain menunggu pada saat akhir untuk mengemas kini maklumat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak.

Huzir berkata, pihaknya menetapkan untuk mewujudkan kod QR kali ini bagi memastikan orang ramai tidak mengambil kesempatan untuk merentas negeri tanpa membuat permohonan.

"Seperti sedia maklum, pergerakan antara negeri masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan hanya mereka yang terkandas dibenarkan merentas negeri.

"Selain itu, tujuan pelaksanaan kod QR adalah bagi membolehkan polis membuat perancangan penugasan, melancarkan aliran trafik dan menjimatkan masa ketika pemeriksaan di sekatan jalan raya nanti," katanya.

Beliau berkata, pemohon dikehendaki mengemas kini maklumat pada hari mereka bergerak seperti ditetapkan mengikut destinasi dituju kerana terdapat tarikh luput bagi pergerakan dilakukan iaitu dalam tempoh 24 jam.

"Sebagai contoh mereka yang mahu ke negeri lain dari Kuala Lumpur perlu mengesahkan pergerakan pada esok hari dan akan memperoleh kod QR sebagai bukti permohonan diluluskan.

"Bagi mereka yang mahu berpatah balik ke Kuala Lumpur semula selepas mengambil ahli keluarga yang terkandas di kampung halaman mengikut hari ditetapkan berdasarkan negeri," katanya.

Katanya, terdapat 98 sekatan jalan raya di sempadan antara negeri di seluruh Semenanjung untuk melakukan pemeriksaan selain pemantauan pergerakan orang ramai.

"Saya memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba merentas sempadan tanpa membuat permohonan bahawa mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 5:41 PM