KERAJAAN negeri Selangor ambil pendekatan mewujudkan Inisiatif SELangkah dalam usaha melindungi premis perniagaan, pelanggan dan membantu pasukan barisan hadapan sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) yang bermula hari ini. FOTO Ihsan Kerajaan Negeri Selangor
KERAJAAN negeri Selangor ambil pendekatan mewujudkan Inisiatif SELangkah dalam usaha melindungi premis perniagaan, pelanggan dan membantu pasukan barisan hadapan sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) yang bermula hari ini. FOTO Ihsan Kerajaan Negeri Selangor
Ruwaida Md Zain


KERAJAAN negeri Selangor mengambil pendekatan mewujudkan Inisiatif SELangkah dalam usaha melindungi premis perniagaan, pelanggan dan membantu pasukan barisan hadapan sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) yang bermula hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri bersedia dengan pergerakan masyarakat lebih tinggi, seiring dengan pengoperasian semula beberapa sektor ekonomi.

"Bagi memperkukuh kesiapsiagaan entiti perniagaan dan melengkapi ikhtiar Penjejakan Kontak (Contact Tracing) oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), kerajaan negeri memperkenalkan inisiatif SELangkah iaitu sistem pendaftaran keluar masuk di premis kerajaan, perniagaan dan individu.

"Konsep inisiatif SELangkah 'Langkah Masuk Dengan Selamat' ini adalah untuk mengautomasi pendaftaran individu memasuki sesuatu premis dengan mudah dan pantas.

"Inisiatif ini mempunyai tiga objektif iaitu melindungi premis perniagaan, melindungi pelanggan dan membantu pasukan baris hadapan," katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Amirudin berkata, pemilik premis diminta mencetak sendiri dan mempamer kod QR bagi premis masing-masing melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my yang boleh dicapai bermula esok.

Beliau berkata, kebanyakan premis perniagaan sudah didaftarkan, manakala pemilik premis belum mendaftar boleh melakukan 'self-registration' di portal itu.

"Pengunjung premis pula diminta untuk mengimbas poster kod QR itu menggunakan fungsi kamera di telefon bimbit, sama ada sebelum memasuki premis atau semasa membuat bayaran, bergantung kepada olah atur pemilik premis masing-masing.

"Log lawatan pengunjung premis akan dikawal selia pentadbiran kerajaan negeri dan diaktifkan oleh pegawai kesihatan awam sekiranya terdapat insiden Covid-19 dilaporkan di premis terbabit seperti di pasar raya, kedai runcit, pasar borong," katanya.

Beliau berkata, melalui inisiatif itu, semua pengunjung ke premis itu dapat dikesan dan dihubungi dengan mudah dan pantas.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 6:53 PM