Sri Ayu Kartika Amri


KAWALAN kendiri amat penting bagi memastikan penularan Covid-19 dapat diputuskan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawalan kendiri itu lebih penting daripada undang-undang.

"Jika tiada undang-undang yang menyekat untuk membawa anak keluar rumah, maka kita perlu bertanya dengan diri sendiri apakah perlu membawa anak pergi ke tempat ramai atau sebaliknya.

"Tidak semua perkara mesti ada undang-undang kerana kawalan kendiri itu lebih penting sebenarnya," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau menjawab mengenai ibubapa yang dilihat semakin mengambil mudah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) denganmembawa anak keluar di tempat tumpuan ramai.

"Sebab itu saya kata tidak semua mesti ada undang-undang kerana kawalan kendiri lebih penting daripada undang-undang.

"Kalau kita ada kawalan kendiri dan tiada undang-undang pun kita boleh kawal diri sendiri kerana kita tahu jika membuat perkara membahayakan akhirnya yang rugi adalah diri kita sendiri," katanya.

Ismail Sabri berkata, rakyat perlu bertanya kepada diri sendiri dan jika tidak yakin dan bimbang dengan keselamatan tidak perlu keluar.

"Keluar hanya untuk membeli barang keperluan semata-mata. Kita mesti jaga keselamatan diri sendiri. Jika kita merasakan tidak selamat membawa anak kecil untuk keluar bersama kita perlu buat keputusan sendiri untuk memastikan kita dan keluarga selamat.

"Pakar perubatan menjangkakan vaksin belum diperoleh. Mereka mengatakan Covid-19 ini akan berada di sekitar kita sekurang-kurangnya dua tahun. Ini bermakna bahaya sentiasa berada di sekitar kita," katanya.

ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA

Namun katanya tidak mungkin PKP diteruskan selama dua tahun dan disebabkan itu kerajaan membuka peluang kepada peniaga kecil kerana sedar bahawa mereka menghadapi masalah besar akibat tiada pendapatan.

"Tetapi tanggungjawab untuk melindungi diri sendiri masih terletak pada setiap individu. Kitalah yang perlu jaga keselamatan. Saya ambil contoh Taiwan mereka tak pernah ada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) atau perintah berkurung tetapi mereka hanya ada enam kematian dan jumlah pesakit paling rendah dalam dunia.

"Bagaimanapun disiplin rakyat mereka yang menentukan bahawa mereka selamat dari jangkitan wabak. Mereka memakai penutup hidung dan mulut, amal penjarakan sosial dan kebersihan diri. Jadi seperti kita tahu yang paling besar adalah disiplin dan kawalan kendiri untuk pastikan kita terus selamat," katanya

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 4:09 PM