Murni Wan Omar dan Yusmizal Dolah Aling


KERAJAAN tidak bertindak zalim kepada pendatang asing tanpa izin (Pati) sebaliknya tindakan diambil mengikut undang-undang sedia ada di negara ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaliknya mereka dikenakan tindakan kerana masuk ke negara ini secara tidak sah.

"Kita sudah membuat saringan kepada mereka dan didapati negatif. PKPD ini akan berakhir tetapi status mereka tidak berubah, masih lagi Pati.

"Undang-undang mengenai Pati tidak berubah sama ada sebelum PKP, PKPD atau selepas PKP. Mereka tetap salah kerana menceroboh masuk ke negara kita," katanya pada sidang media harian hari ini.

PATI Filipina dipindahkan ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan. FOTO Ihsan JIM.
PATI Filipina dipindahkan ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan. FOTO Ihsan JIM.

Menurutnya, mereka yang ditahan juga turut diberi layanan yang baik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) termasuk mendapat kemudahan makanan.

Katanya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah membawa mereka ke depoh tahanan untuk proses undang-undang seterusnya.

Beliau mengulas mengenai penahanan 586 Pati di PKPD Jalan Masjid India seperti yang tular di media sosial semalam.

Katanya, sepatutnya mereka yang tidak berpuas hati perlu berterima kasih kepada kerajaan kerana menjalani ujian saringan atau berdepan kemungkinan menyebarkan penyakit kepada keluarga mereka.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 4:08 PM