Tan Lek Khang (kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan.
Tan Lek Khang (kanan) menyampaikan sumbangan wang tunai bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan.
Hazri A Bakar


PERTUBUHAN Kebajikan Jiwa Prihatin Kota Tinggi (PKJPKT) membelanjakan hampir RM200,000 bagi membantu golongan kurang berkemampuan di sekitar Johor dan Kota Tinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Usaha itu diteruskan bagi fasa keempat PKP dalam usaha memastikan tiada golongan kurang berkemampuan terpinggir.

Pengerusi PKJKT, Tan Lek Khang berkata, dana dibelanjakan adalah hasil kutipan daripada ahli yang terdiri dari pelbagai latar belakang termasuk dari ahli perniagaan.

"Hampir setiap hari kami menghantar barangan keperluan asas harian seperti beras, minyak masak, gula pasir, susu, biskut dan sayur-sayuran untuk golongan tidak berkemampuan.

"Setakat ini, hampir 1,000 keluarga sudah dibantu dan jumlah ini dijangka meningkat bagi fasa keempat PKP," katanya.

Menurutnya, antara keutamaan diberikan adalah warga emas yang terlantar dan ibu tunggal yang kehilangan punca pendapatan sejak PKP dilaksanakan.

Katanya, PKJKT bekerjasama dengan pemimpin tempatan mengenal pasti golongan kurang berkemampuan dan melihat sendiri keadaan mereka sebelum sumbangan disalurkan.

Sumbangan turut disalurkan kepada barisan hadapan seperti petugas kesihatan dan polis membabitkan agihan kelengkapan penjagaan diri, cecair pembasmi kuman dan sarung tangan pakai buang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 4:26 PM