Hazri A Bakar

SAMBUTAN 1 Syawal kali ini lebih bermakna buat seorang ibu tunggal apabila dapat beraya di rumah lebih selesa di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Bukit Samsu, Kota Tinggi, Johor.

Sebelum ini, Norliah Abdullah, 38, dan enam anak berusia dua hingga 17 tahun terpaksa berpindah randah malah pernah menumpang surau.

Kesulitan hidup keluarga itu mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin Kota Tinggi (PKJPKT) yang membantu mendapatkan sebuah rumah di PPRT itu dengan bantuan Pejabat Daerah Kota Tinggi.

Pengerusi PKJPKT, Tan Lek Khang berkata, pihaknya mengetahui nasib Norliah selepas dibawa bertemu oleh Penghulu Mukim Kota Tinggi, Mohd Adam Ahmad untuk dibantu kerana keluarga itu berdaftar dengan Pejabat Daerah Kota Tinggi bagi kategori miskin tegar.

Katanya, sebelum ini keluarga itu menyewa sebuah rumah dan amat menyedihkan kerana mereka tidur di atas lantai tanpa beralaskan tilam.

"Kami juga dimaklumkan keluarga Norliah pernah menumpang tidur di surau selama dua minggu kerana tidak mampu membayar sewa rumah.

"Dibantu Pejabat Daerah Kota Tinggi, kami berjaya mendapatkan rumah PPRT di Bukit Samsu dan disediakan dalam tempoh seminggu dengan cat baharu, menyediakan kelengkapan rumah dan keperluan bagi menyambut hari lebaran," katanya ketika menyerahkan kunci rumah kepada Norliah semalam.

PENGERUSI Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin Kota Tinggi (PKJPKT), Tan Lek Khang (tiga dari kiri) menyampaikan simbiolik kunci kepada Norliah Abdullah di PPR Bukit Samsu semalam. FOTO Hazri A Bakar
PENGERUSI Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin Kota Tinggi (PKJPKT), Tan Lek Khang (tiga dari kiri) menyampaikan simbiolik kunci kepada Norliah Abdullah di PPR Bukit Samsu semalam. FOTO Hazri A Bakar

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Kota Tinggi (Pembangunan Masyarakat), Mohamad Nor Fahmi M Nasir dan Mohd Adam.

Lek Khang berkata, pihaknya akan turut membantu ibu tunggal itu mendapatkan pekerjaan selepas Aidilfitri bagi memastikan mereka dapat menampung kehidupan harian.

Sementara itu, Mohamad Nor Fahmi berkata, selain menempatkan keluarga Norliah di rumah tiga bilik itu, pihaknya turut akan membantu anak-anaknya menyambung persekolahan.

Katanya, setakat ini, keluarga Norliah turut menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Johor setiap bulan.

"Untuk anak-anaknya yang keciciran, kita akan rujuk dengan Pejabat Pendidikan Daerah. Kita akan lihat bagaimana untuk membantu memastikan anak-anaknya dapat menyambung semula persekolahan.

"Anaknya yang berusia 17 tahun, dua adiknya kembar berusia 15 tahun tidak lagi bersekolah. Kita akan usahakan selepas sekolah dibuka semula," katanya.

Sementara itu, Norliah berkata dia tidak menyangka Syawal disambut dengan gembira oleh anak-anaknya kerana tidak perlu lagi risau atau tidur beralaskan lantai seperti sebelum ini.

"Terima terima kasih kepada semua pihak yang membantu. Saya tidak tahu bagaimana hendak membalas pertolongan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 1:54 PM