MSU merupakan antara Makmal Universiti yang terpilih oleh KKM bagi menyediakan perkhidmatan ujian Covid-19. FOTO Osman Adnan
MSU merupakan antara Makmal Universiti yang terpilih oleh KKM bagi menyediakan perkhidmatan ujian Covid-19. FOTO Osman Adnan
Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


WALAUPUN kes positif Covid-19 sudah menampakkan penurunan dan negara dalam fasa penyembuhan, jumlah sampel diambil di lapangan tidak dikurangkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahu meningkatkan lagi keupayaan untuk pengambilan sampel.

"Kita tiada cadangan mengurangkan pengambilan sampel di lapangan setiap hari dalam saringan Covid-19.

"Malah, jika ketika jumlah ujian seharian yang dijalankan adalah membabitkan kira-kira 11,000 sampel, KKM mahu pertingkatkan lagi ujian sehingga sekurang-kurangnya 16,000 ujian sehari," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Mengenai persoalan masih terdapat kes positif dalam kluster Sri Petaling walaupun sudah kira-kira dua bulan sejak mula indeks kes dikesan, katanya, kontak dalam kluster itu sudah terdedah di banyak tempat.

"Ini termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti di Menara City One, Selangor Mansion, Malayan Mansion dan di Pasar Borong," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kes terbaharu adalah lanjutan daripada kluster Sri Petaling berkenaan.

Menurutnya, tindakan bagi kluster berkenaan dianggap sudah terlewat antara sembilan hingga 10 hari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 6:55 PM