KERAJAAN negeri Selangor jalankan beberapa siri pemeriksaan komuniti bersasar di kawasan zon merah bagi membantu usaha memutuskan penularan rantaian pandemik Covid-19. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
KERAJAAN negeri Selangor jalankan beberapa siri pemeriksaan komuniti bersasar di kawasan zon merah bagi membantu usaha memutuskan penularan rantaian pandemik Covid-19. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ruwaida Md Zain


SARINGAN komuniti Covid-19 Selangor merekodkan sebanyak 5,433 sampel diuji dan 10 daripadanya disahkan positif.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seramai lapan pesakit tidak bergejala dikesan, manakala dua pesakit dengan simptom seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak.

"Hulu Langat merekodkan satu kes dengan simptom dan empat kes tidak bergejala, Petaling dan Klang pula merekodkan satu kes dengan simptom dan dua kes tidak bergejala, manakala Shah Alam dan Gombak masing-masing merekodkan satu kes tidak bergejala.

"Keputusan itu diperoleh melalui saringan yang membabitkan Hulu Langat sebanyak 648 sampel, Shah Alam (SUK) dengan 136 sampel, Petaling dan Klang (1,826), Shah Alam (391), Sepang (397), Hulu Selangor (382) dan Gombak (1,653).

"Mereka yang sudah menjalani saringan komuniti ini boleh muat turun laporan pemeriksaan berkenaan di http://www.selangorprihatin.com mulai 1 Mei 2020," katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam hari ini.

Amirudin berkata, kerajaan negeri menjalankan beberapa siri pemeriksaan komuniti bersasar di kawasan zon merah bagi membantu usaha memutuskan penularan rantaian pandemik Covid-19.

"Inisiatif saringan komuniti ini berlangsung sebanyak tujuh pusingan membabitkan enam kawasan bermula di Hulu Langat pada 11 dan 12 April lalu dan berakhir dengan Bandar Baru Selayang pada 22 dan 23 April.

"Kerajaan negeri akan meneruskan saringan komuniti di Selangor bagi membantu usaha KKM mengenal pasti individu yang dijangkiti virus ini terutama dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 2:50 PM