PENGUATKUASA KPDNHEP Selangor melakukan semakan harga barangan kawalan di dua kedai runcit di Bukit Beruntung. FOTO IHSAN KPDNHEP SELANGOR
PENGUATKUASA KPDNHEP Selangor melakukan semakan harga barangan kawalan di dua kedai runcit di Bukit Beruntung. FOTO IHSAN KPDNHEP SELANGOR
Md Fuzi Abd Lateh

DUA peruncit di Hulu Selangor dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor kelmarin selepas melakukan kesalahan berkaitan tanda harga.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan dilakukan anggotanya dari cawangan Kuala Kubu Bharu ke atas pemilik kedai runcit di Prima Beruntung dan Taman Bunga Raya di Bukit Beruntung.

"Serbuan mengejut dilakukan anggota kami selepas mendapat aduan orang awam mengenai kedua-dua pemilik kedai runcit yang gagal mematuhi arahan kerajaan terhadap penjualan barangan kawalan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

"Sepasukan anggota penguat kuasa ke premis pertama di Prima Beruntung pada 11 pagi dan siasatan dilakukan mendapati peniaga gagal mempamerkan tanda harga bagi bawang besar," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan kedua ke premis di Taman Bunga Raya pada 12.30 tengah hari pula mendapati peniaga berkenaan turut gagal mempamerkan tanda harga bagi gula bertapis kasar yang juga diwartakan sebagai barang kawalan.

Muhammad Zikril berkata, peniaga dikesan mengambil kesempatan terhadap pelanggan dengan menjual harga sekilogram gula itu melebihi harga kawalan iaitu RM2.85.

"Premis berkenaan juga pernah dilawati beberapa kali pegawai kami bagi tujuan membuat teguran dan menasihatkan mereka yang melanggar arahan kerajaan.

"Kedua peniaga berkenaan dikenakan kompaun masing-masing sebanyak RM1,000 mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi kesalahan gagal mempamerkan tanda harga kedua barangan itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 6:48 PM