TOPENG muka digunakan sebagai langkah pencegahan wabak coronavirus. FOTO Hasriyasyah Sabudin
TOPENG muka digunakan sebagai langkah pencegahan wabak coronavirus. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Melvin Joni


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak menerima sebanyak 241 aduan awam sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

KPDNHEP Sarawak berkata, aduan tertinggi adalah mengenai penutup hidung dan mulut sebanyak 130 kes, cecair pembasmi kuman (14), keperluan asas (58), aduan online (45) dan lain-lain (58).

“Semua aduan yang diterima ini disiasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya telah melaksanakan pemeriksaan ke atas 4,495 premis perniagaan di bandar dan luar bandar sepanjang PKP.

Katanya, sebanyak 22 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM2,451.50 dan jumlah kompaun sebanyak RM1,650 telah dikenakan.

“Kes-kes ini membabitkan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sebanyak sembilan kes, Akta Timbang dan Sukat 1972 (7 kes), Akta Perlindungan Pengguna 1999(2 kes) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (4 kes).

Dalam perkembangan sama, KPDNHEP Sarawak berkata, sebanyak 44 Notis Pencatutan telah dikeluarkan bagi tempoh 1 Januari hingga 19 April lalu dan daripada jumlah itu, sebanyak 24 notis dikeluarkan dalam tempoh PKP berlangsung kerana disyaki berlaku kenaikan harga.

Katanya, KPDNHEP Sarawak belum melaksanakan Skim Harga Maksimum Perintah Kawalan Pergerakan (SHMPKP) memandangkan ia masih dalam peringkat kajian pengurusan tertinggi ibu pejabat KPDNHEP.

Namun begitu, KPDNHEP Sarawak melaksanakan pemeriksaan harian secara berterusan dalam sepanjang tempoh PKP bagi memantau premis-premis perniagaan utama seperti di pasar raya besar, pemborong utama, mini market, kedai-kedai runcit, pasar-pasar awam dan lain-lain kategori perniagaan.

“Pemeriksaan secara harian dilaksanakan bagi memastikan barangan keperluan isi rumah serta makanan dan minuman berada di pasaran dan dijual pada harga yang berpatutan sepanjang tempoh PKP ini,” katanya.

Katanya, pemeriksaan dijalankan bagi memastikan mana-mana peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan secara tidak munasabah terutama dalam situasi di mana orang ramai memerlukan barangan keperluan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 4:25 PM