RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang lelaki menyamun juruwang pasar raya di Jalan Rawang Batu 18, yang tular di media sosial. FOTO ihsan pembaca
RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang lelaki menyamun juruwang pasar raya di Jalan Rawang Batu 18, yang tular di media sosial. FOTO ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan dua penganggur, semalam, yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun di sebuah pasar raya di Jalan Rawang Batu 18, Rawang, 16 April lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan daripada juruwang berusia 17 tahun memaklumkan disamun seorang lelaki bersenjatakan parang kira-kira 2 petang.

“Mangsa memaklumkan penjenayah memakai topi keledar serta penutup hidung dan mulut itu mengacu parang ke arahnya sebelum mengambil wang tunai dianggarkan berjumlah RM7,000.

“Suspek kemudian melarikan diri. Mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, pihaknya membuat operasi susulan di Jalan Besar dan menahan seorang penunggang motosikal dalam keadaan yang mencurigakan kira-kira 9 malam tadi.

“Suspek berusia 30 tahun cuba melarikan diri dengan memecut motosikalnya, namun dia berjaya ditahan.

“Hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan rakannya berusia 35 tahun di Batu 16 Rawang kira-kira satu jam kemudian,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas wang tunai kira-kira RM2,000 dipercayai hasil samun, motosikal dan pakaian digunakan suspek ketika kejadian dalam serbuan itu.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah. Kami percaya dapat menyelesaikan kes berkenaan dengan penahanan dua suspek terbabit.

“Kedua-dua suspek akan direman hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Terdahulu, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi satu minit sembilan saat menunjukkan seorang lelaki menyamun juruwang pasar raya berkenaan tular di media sosial sejak 17 April lalu.

Dalam video berkenaan, lelaki itu dilihat keluar dari pasar raya berkenaan dengan membawa satu beg plastik sebelum kelihatan berlegar-legar berhampiran kaunter juruwang berkenaan.

Lelaki itu kemudian dilihat mengacukan parang ke arah juruwang itu yang turut disaksikan beberapa orang awam yang berada di lokasi sebelum beredar selepas mengambil wang di kaunter.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 10:11 AM