Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Berebut ingin mendapat nombor giliran menyebabkan berlaku kesesakan di pintu pagar utama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju di sini, kelmarin sehingga tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, video itu mula di Facebook (FB) semalam menunjukkan orang ramai berasak-asak.

Menurutnya, dalam video itu kelihatan orang ramai mengerumuni pintu pagar hingga tidak menghiraukan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Hasil semakan mendapati kejadian berlaku pada Isnin lalu antara 1 tengah hari hingga 2 petang berpunca daripada orang ramai berebut untuk memasuki premis JPJ bagi urusan di kaunter JPJ yang mana hanya 50 nombor giliran sahaja dibuka pada sesi sebelah petang.

"Keadaan itu diburukkan lagi dengan kehadiran orang ramai untuk menjelaskan saman tertunggak yang diberi diskaun sehingga 70 peratus oleh pihak JPJ," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ashari berkata, pada asalnya tarikh akhir diskaun adalah pada 11 Jun ini namun disebabkan PKP menyeluruh bermula semalam, orang ramai mengambil kesempatan untuk menyerbu kaunter pembayaran saman pada saat-saat akhir.

"Pihak Keselamatan JPJ Wangsa Maju menghubungi pihak polis untuk bantuan selepas keadaan tidak terkawal.

"Pasukan Pemantau IPD Wangsa Maju hadir di lokasi. Setelah melihat kehadiran pihak polis, orang ramai mula bersurai dari lokasi bagi mengelakkan mereka dikenakan kompaun," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi SOP supaya penularan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.

"Tindakan tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang dengan sengaja melanggar SOP dan tidak menjaga penjarakan fizikal boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat dan tindakan kompaun boleh dikenakan," katanya.

Gambar daripada rakaman video yang tular menunjukkan orang ramai bersesak-sesak di pintu pahar utama JPJ Wangsa Maju. Foto Ihsan PDRM
Gambar daripada rakaman video yang tular menunjukkan orang ramai bersesak-sesak di pintu pahar utama JPJ Wangsa Maju. Foto Ihsan PDRM

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 4:40 PM