GAMBAR hiasan. FOTO Aizuddin Saad
GAMBAR hiasan. FOTO Aizuddin Saad
Oleh Ruwaida Md Zain


SERAMAI 668 rakyat Malaysia dari luar negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang menerusi enam penerbangan semalam.

Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, penerbangan terbabit dari Singapura, Doha (Qatar), Hong Kong, Narita (Jepun), London (United Kingdom) dan Surabaya (Indonesia).

“Saringan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seramai 646 daripada penumpang terbabit adalah negatif Covid-19.

“Daripada jumlah itu, seramai 19 penumpang yang bergejala dihantar ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah tangkapan terkini berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi fasa ketiga bermula semalam, membabitkan 334 tangkapan.

“Seramai 334 individu termasuk warga asing ditangkap di seluruh Selangor dalam fasa ketiga ini sejak semalam, ini membabitkan semua operasi termasuk di sekatan jalan raya dan ‘snap check’ di pasar raya,” katanya.

Beliau berkata, tiada lagi kompaun bagi pesalah PKP kerana mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang merebakkan jangkitan apa-apa penyakit.

“Tindakan lain juga boleh dikenakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 188 KK kerana mengingkari perintah yang diisytiharkan, Seksyen 271 KK iaitu mengingkari perintah kuarantin serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sekiranya dikesan menyebar berita palsu,” katanya.

Dalam pada itu katanya, dalam PKP fasa ketiga ini sebanyak 102 lokasi sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan, 3,474 pemeriksaan snap check dan 4,146 diberikan nasihat atau amaran.

Berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Kajang katanya, ia masih diteruskan hanya di Kampung Paya Lebar Batu 23 1/2 Sungai Lui, Hulu Langat.

“Bagi penduduk di Kampung Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, jumlah penduduk yang selesai menjalani kuarantin adalah seramai 3,913 membabitkan 699 buah rumah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 5:53 PM