Ekhwan Haque Fazlul Haque


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 95 kompaun kepada individu yang didapati melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan bermula semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah kompaun RM1,000 dikenakan dalam usaha memastikan tiada pelanggaran PKP dilakukan sepanjang tempoh arahan dilaksanakan kerajaan.

Menurutnya, individu yang ditahan akan dibawa ke balai polis berhampiran sebelum notis kompaun diberikan dan ia perlu diselesaikan dalam tempoh dua minggu.

“Mereka yang dikompaun perlu membayar RM1,000 di pejabat kesihatan daerah atau balai polis dalam tempoh dua minggu.

“Jika gagal menjelaskan kompaun berkenaan, mereka boleh dihadapkan ke mahkamah untuk pendakwaan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

PETUGAS keselamatan melakukan sekatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Mohammad Shahril Badri Saali
PETUGAS keselamatan melakukan sekatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Mohammad Shahril Badri Saali

Dalam pada itu, Ismail berkata, tahap pematuhan rakyat terhadap PKP sudah meningkat kepada 97 peratus seperti yang dilaporkan PDRM sehingga semalam.

Katanya, baki tiga peratus yang masih ingkar itu diharap dapat dikurangkan dan arahan PKP ini dapat dipatuhi sepenuhnya.


“Kadar tangkapan juga menurun 34 peratus namun kita masih buat kajian mengenai trend ini kerana beberapa hari lepas menurun tetapi meningkat kembali.

“Beberapa hari lepas ramai yang keluar untuk ke bank untuk tuntut bantuan. Kita harap ini (peningkatan keluar) hanya sementara dan akan terus menurun,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 3:17 PM