MOHAMAD Anas mengagihkan bantuan kerajaan Pahang kepada ahlinya di Kuala Tahan. FOTO ROSELAN AB MALEK.
MOHAMAD Anas mengagihkan bantuan kerajaan Pahang kepada ahlinya di Kuala Tahan. FOTO ROSELAN AB MALEK.
Roselan Ab Malek


SERAMAI 193 pemandu pelancong dan bot penambang di Taman Negara Kuala Tahan menerima bantuan selepas pendapatan terjejas akibat penularan Covid-19.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semula Jadi Taman Negara Pahang, Mohamad Anas Zainudin berkata, ahlinya bersyukur dengan bantuan itu yang diuruskan kerajaan negeri.

Katanya, ia membantu meringankan beban mereka selepas tidak lagi menerima pelancong dan tempahan perkhidmatan dibatalkan.

“Ketiadaan pengunjung luar ke sini (Taman Negara) memberi kesan ketara sehingga semua operasi eko pelancongan diberhentikan buat sementara waktu.

“Syukur adanya bantuan kerajaan negeri untuk ringankan beban kami,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bot Pelancong Kuala Tahan, Fredaus Yusri Mat Yunus berkata, pemandu bot penambang antara paling terkesan apabila sektor eko pelancongan di situ lumpuh sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu.

“Sejak ittu bot kami hanya tersadai di Sungai Tembeling dan Sungai Tahan sehingga masing-masing cuba mencari alternatif lain untuk menyara keluarga,” katanya.

Menurutnya, situasi itu adalah yang kedua dihadapi mereka selepas kesulitan pertama ketika banjir besar pada 2014.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 5:34 PM