Aktiviti berkelah dan menaiki perahu getah di Pulau Betong, Sungai Sat menjadi aktiviti sungai paling digemari pengunjung tatkala datang bercuti di Kuala Sat.
 
FOTO BERNAMA
Aktiviti berkelah dan menaiki perahu getah di Pulau Betong, Sungai Sat menjadi aktiviti sungai paling digemari pengunjung tatkala datang bercuti di Kuala Sat.
 
FOTO BERNAMA

Jerantut: Setelah hampir dua tahun sunyi tanpa dikunjungi pelancong berikutan pandemik Covid-19, industri ekopelancongan yang baharu 'setahun jagung' di Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling kembali 'bernafas' ketika negara kini dalam fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lalu.

Kenderaan yang keluar masuk ke kampung ini yang terletak sekitar 117 kilometer dari bandar Jerantut dan kira-kira 54 kilometer dari Kuala Tahan ini, menjadi pemandangan lumrah terutama pada hujung minggu sejak industri pelancongan negara kembali bangkit pada penghujung 2021.

Kampung tradisi Melayu ini yang masih mengekalkan keindahan panorama semula jadi ini semakin menjadi tumpuan pencinta alam termasuk pelancong dari luar negara yang boleh memilih sama ada untuk bermalam atau balik hari.

Kedudukan Kuala Sat yang sebahagiannya terletak di Taman Negara Pahang di Kuala Tahan tidak sekadar menjanjikan pemandangan menghijau hutan yang berusia lebih 130 tahun tetapi juga alunan bunyi alam yang mengasyikkan.

Malah, ketenangan Sungai Hulu Tembeling dan Sungai Kuala Sat (anak sungai Hulu Tembeling) yang menjadi 'nadi ekonomi' buat penduduk kampung serta keramahan mereka yang menyapa mesra pelancong dalam dialek Hulu Pahang, pastinya menjadi momen yang menggamit hati untuk kembali lagi ke sini.

Benarlah kata orang, tidak sah kalau ke Taman Negara jika tidak singgah ke Kuala Sat kerana ia adalah antara satu lagi 'permata tersembunyi' di daerah ini yang wajib dikunjungi serta diterokai bagi pencinta alam mahupun mereka yang ingin menghirup udara segar bebas daripada hiruk-pikuk kesesakan kota.

Suasana damai inilah yang saya rasai sepanjang tiga hari perkhemahan di Kuala Sat, bercuti bersama keluarga, setelah sekian lama tidak dapat melakukan aktiviti berkenaan.

Dingin kabus pagi dari hutan terpelihara di taman negara ini bukan sahaja menggamit keasyikan kami sekeluarga tetapi juga rasa kagum melihat semangat penduduk kampung di sini yang cuba bangkit kembali memajukan ekopelancongan Kuala Sat.

Kedatangan ramai pengunjung memberikan 'sinar harapan' baharu buat penduduk kampung khususnya mereka yang menceburi bidang perkhidmatan yang menyokong dan mengembangkan aktiviti pelancongan di kampung ini.

Selain meneruskan tradisi keluarga menoreh getah, boleh dikatakan ramai anak muda Kuala Sat menjadi pemandu bot, jurupandu arah, pengurus chalet serta tidak kurang juga menjadi jurupandu pelancong yang secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan baharu kepada hampir 70 orang belia kampung ini.

Jeti Kuala Sat, kira-kira 100 meter dari kampung ini menjadi 'lubuk' rezeki apabila puluhan bot penambang sudah bersedia seawal jam 10 pagi untuk membawa pelancong ke lokasi menarik di sepanjang Sungai Hulu Tembeling dan Sungai Kuala Sat yang bersebelahan Taman Negara.

Saya sekeluarga tidak melepaskan peluang mengambil pakej yang disediakan antaranya menyusuri Sungai Hulu Tembeling dan Sungai Sat ke perkampungan Orang Asli suku Bateq di Kampung Bengoi, berkelah di Pulau Betong, dan melihat ribuan anak ikan kelah, lampam dan kerai di santuari ikah Kelah di Kuala Sat.

Selain itu, terdapat juga aktiviti meredah hutan (jungle trecking), melawat Istana Seri Tembeling (istana hinggap bagi Kebawah Duli Sultan dan kerabat diraja apabila mencemar duli ke kawasan Hulu Tembeling) ataupun ke Pos Kelapah yang merupakan jalan masuk ke Gunung Milung dengan harga yang sungguh berpatutan.

"Kerayan sunguh gun... (keadaan sudah berubah) ramai orang datang Kampung Kuala Sat lo ni (sekarang), meriah amat tiap hujung minggu," kata Zainuddin Yusuf, 82 dalam dialek Hulu Pahang (Kuala Sat), warga emas yang saya temui ketika kami sedang menjamu selera di kedai makannya.

Menurut beliau, setiap kampung di Hulu Pahang mempunyai dialek dengan keunikannya tersendiri dan ini yang menjadi antara modal keramahannya menyambut mahupun meraikan kedatangan pelancong ke kedai makannya.

Bersyukur perniagaannya sudah kembali rancak sepertimana sebelum berlaku pandemik Covid-19, Zainuddin mengakui hampir dua tahun kedainya sunyi dan hanya dikunjungi orang kampung berikutan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

Apa yang istimewa mengenai kedai makannya ialah lauk-pauk tradisi Hulu Pahang seperti asam rong dan gulai tempoyak ikan sungai yang menjadi tumpuan kalangan mereka yang sukakan makanan tradisi tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 7:10 AM