MATTA meminta MAVCOM memainkan peranan menyediakan mekanisme bagi membolehkan syarikat penerbangan mengembalikan wang tuntutan pengguna yang terkesan berikutan pandemik Covid-19. FOTO Arkib NSTP
MATTA meminta MAVCOM memainkan peranan menyediakan mekanisme bagi membolehkan syarikat penerbangan mengembalikan wang tuntutan pengguna yang terkesan berikutan pandemik Covid-19. FOTO Arkib NSTP
Redzuan Muharam

PERSATUAN Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) meminta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) memainkan peranan menyediakan mekanisme bagi membolehkan syarikat penerbangan mengembalikan wang tuntutan pengguna dalam tempoh tertentu atau alternatif lain demi kebaikan kedua-dua pihak yang terkesan berikutan pandemik Covid-19.

Presiden MATTA Datuk Tan Kok Liang berkata, mekanisme itu juga seharusnya membabitkan ejen pelancongan yang menjadi perantara bagi pengguna untuk mendapatkan semula wang tuntutan mereka tanpa ada kelewatan atau sekurang-kurangnya tawaran yang boleh diterima (oleh pengguna).

“Peranan MAVCOM adalah menyediakan mekanisme untuk melindungi pengguna dan memastikan mereka termasuk ejen pelancongan yang menjadi wakil menerima kembali wang tempahan atau tawaran munasabah.

” MAVCOM perlu menerima cabaran ini dengan menetapkan tempoh dan mekanisme untuk pemulangan wang ,pilihan atau penyelesaian untuk syarikat penerbangan serta pengguna.

” Pengendali di Amerika Syarikat dan Eropah misalnya sudah mengarahkan syarikat penerbangan untuk memulangkan kembali wang kepada pembeli tiket.

Jadi, dengan membenarkan kelonggaran kepada syarikat penerbangan mengikut budi bicara menunjukkan kelemahan pentadbiran dalam menangani krisis ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Tan, MAVCOM seharusnya memikirkan impak drastik kepada pengguna sekiranya syarikat penerbangan menamatkan operasi.

“Apa nilai baucar dan mata ganjaran buat mereka? Apa yang akan berlaku sekiranya syarikat penerbangan luar negara menghentikan operasi di Malaysia dan adakah MAVCOM mengambil kira semua itu?

“Dalam konteks berkaitan, di bawah Pelan Penyelesaian Bil (BSP) Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) , ejen pelancongan perlu menyediakan kawalan kewangan dalam bentuk jaminan bank (BG) atau Program Insuran (DIP) untuk menjual tiket.

“Begitu juga dengan IATA yang perlu menggesa syarikat penerbangan menyediakan kawalan kewangan untuk melindungi ejen pelancongan dan penumpang susulan penutupan perkhidmatan,” katanya.

Dalam pada itu, Tan berkata, Kementerian Kewangan seharusnya meneliti amalan syarikat penerbangan ketika ini dengan melihat semula larangan mengambil wang deposit terkumpul daripada pengguna sekitar tahun 1980 untuk menanggung kos operasi.

Katanya, kerajaan juga digesa mengkaji atau mempertimbangkan pemberian bantuan kewangan seperti pinjaman kepada industri penerbangan dan syarikat tempatan iaitu Malaysia Airlines serta Air Asia Group Bhd untuk bertahan ketika tempoh getir dalam usaha memulihkan semula sektor pelancongan.

” Kami simpati dengan apa yang berlaku terhadap sektor penerbangan komersial tetapi tetap dengan pendirian mengambil deposit untuk perkhidmatan akan datang dan gagal memulangkannya bukan satu pengurusan kewangan yang cermat.

“Wang deposit pelanggan seharusnya diletakkan di dalam akaun amanah sehingga perkhidmatan beroperasi semula.

“Mengapa syarikat penerbangan dibenarkan menangguhkan pemulangan wang sedangkan bukan perniagaan itu saja terjejas akibat pandemik itu? Ia menunjukkan syarikat lain juga boleh mengambil langkah serupa (memberi baucar kredit).

“Ironinya, semua penumpang kecuali kanak-kanak bawah umur dua tahun dan yang terbang menggunakan perkhidmatan udara luar bandar di Sabah dan Sarawak dikenakan caj levi RM1 sejak 1 Mei 2018 jadi sudah tiba masanya untuk MAVCOM menghentikan kutipan itu kerana kegagalannya melindungi hak pengguna,” katanya.

Tan berkata, corak tempahan dan pelancongan akan terjejas melainkan isu itu diselesaikan demi mengembalikan keyakinan orang ramai.

Terdahulu, MAVCOM dilaporkan sedang memberikan beberapa kelonggaran kepada syarikat penerbangan dalam menyelesaikan aduan serta pembayaran balik kepada pengguna berikutan cabaran yang dihadapi oleh mereka akibat pandemik Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 6:29 PM