Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat pertambahan kes positif Covid-19 di beberapa kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kawasan itu termasuk di Kluang, Bandar Baru Ibrahim Majid, Hulu Langat, Menara Plaza City One dan Selangor Mansion di Kuala Lumpur.

“Terdapat pertambahan 10 kes positif Covid-19 masing-masing di kawasan Kluang menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 193 kes dan Bandar Baru Ibrahim Majid sebanyak 155 kes.

“Di Hulu Langat pula terdapat pertambahan sembilan kes menjadikan 396 kes dan di luar kawasan Sungai Lui pula sebanyak empat kes baharu dilaporkan.

“Selain itu, Menara Plaza City One pertambahan satu kes menjadikan jumlah keseluruhan 31 kes, manakala Selangor Mansion pula terdapat pertambahan 32 kes menjadikan keseluruhan 75 kes. Kawasan PKPD lain setakat ini masih kekal,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Bernama
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Bernama

Ditanya mengenai dakwaan terdapat 12,000 rakyat Malaysia baru pulang dari luar negara, Noor Hisham mengesahkan perkara itu dan kesemua mereka sedang dikuarantin di pusat kuarantin.

“Memang ada 12,000 orang yang sedang kita kuarantinkan sama ada di hotel dan institut latihan awam. Tetapi kita kena menunggu selama 14 hari dan akan melaksanakan ujian pengesanan Covid-19 pada hari ke-13,” katanya.

Katanya, setakat ini belum ada kes positif dikesan daripada kalangan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 6:51 PM