ANGGOTA RELA sanitasi diri  selepas menjalankan tugas di Kg Sg Lui, Hulu Langat, semalam. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di kawasan itu. FOTO Saifullizan Tamadi
ANGGOTA RELA sanitasi diri selepas menjalankan tugas di Kg Sg Lui, Hulu Langat, semalam. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di kawasan itu. FOTO Saifullizan Tamadi
Rafidah Mat Ruzki; Mohd Nasaruddin Parzi; Muhammad Yusri Muzamir dan Noor Atiqah Sulaiman


KEMENTERIAN Kesihatan memaklumkan terdapat pertambahan kes positif Covid-19 di beberapa kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antara kawasan yang terdapat pertambahan kes termasuk di Kluang, Bandar Baru Ibrahim Majid, Hulu Langat dan Selangor Mansion.

“Terdapat pertambahan tujuh kes positif Covid-19 masing-masing di kawasan Kluang menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 183 kes dan Bandar Baru Ibrahim Majid iaitu jumlah keseluruhan sebanyak 145 kes.

“Manakala, di Hulu Langat pula terdapat pertambahan 11 kes menjadikan ia 387 kes dan di luar kawasan Sungai Lui pula sebanyak 14 kes baharu dilaporkan.

“Selain itu, di Selangor Mansion pula terdapat pertambahan 32 kes baharu. Kawasan lain PKPD setakat ini masih mengekalkan jumlah kes sedia ada,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sudah membuat 2,054 saringan keatas penduduk di Menara Plaza City One.

“Daripada jumlah itu sebanyak 30 individu dilaporkan positif Covid-19, manakala di Malayan Mansion pula seramai 783 individu disaring dan dari jumlah itu terdapat empat individu dilaporkan positif.

“Di Selangor Mansion, seramai 898 individu sudah disaring dan dilaporkan seramai 43 kes positif iaitu pertambahan seramai 32 individu berbanding semalam,” katanya.

Pelaksanaan PKPD di beberapa kawasan itu dibuat selepas KKM melihat terdapat pertambahan kes drastik secara berturut-turut di kawasan terbabit.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 6:27 PM