penuntut UUM memberi makanan kepada kucing terbiar dalam kampus sepanjang tempoh PKP. FOTO ihsan UUM
penuntut UUM memberi makanan kepada kucing terbiar dalam kampus sepanjang tempoh PKP. FOTO ihsan UUM
Noorazura Abdul Rahman


MENYEDARI banyak kucing terbiar sepanjang arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 17 penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) mengambil inisiatif mengumpul dana bagi membeli makanan haiwan berkenaan.

Penuntut, Nor Dalila Youb, 24, berkata dianggarkan lebih 150 kucing berada di dalam kampus berkenaan terbiar dan perlu diberikan perhatian sepanjang tempoh PKP.

Katanya, setiap dua hari sekali mereka menghabiskan 20 kilogram makanan untuk kucing yang terdapat di bangunan pusat pengajian, medan selera, kafeteria dan bangunan pentadbiran lain di dalam kampus.

“Saya bersama pelajar lain akan memberi kucing ini makan sebanyak dua kali sehari termasuk menyediakan bekas minuman.

“Kami akan berpecah mengikut kumpulan dan mencari lokasi yang kebiasaannya terdapat banyak kucing termasuk di Inapan Siswa (INASIS),” katanya.

Nor Dalila berkata, bagi menjaga kebersihan kawasan, mereka menyediakan bekas makanan dan minuman automatik terutamanya untuk kawasan di luar INASIS seperti pusat pengajian dan medan selera.

Sementara itu, sukarelawan, Anis Sofiani Abdul Ghani,26, berkata, dia bersyukur kerana masih ada pihak yang sudi membantu menghulurkan sumbangan bagi membeli makanan kucing.

Katanya, 17 penuntut terbabit bergerak di bawah Persatuan Mahasiswa UUM Pencinta Kucing dan akan berpecah di sekitar UUM untuk memastikan kesemua lokasi yang mempunyai haiwan mendapat bekalan makanan secukupnya.

“Ini adalah salah satu sumbangan kami kepada makhluk Allah, tambahan pula sewaktu pendamik Covid-19.

“Selain itu, wang diterima juga akan digunakan bagi menampung kos rawatan kucing yang sakit agar mereka juga dapat menjalani kehidupan yang sihat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 11:13 AM