Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam (kanan) membungkus ikan kembung untuk diagihkan kepada penduduk di flat Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor. Foto Nurul Amanina Suhaini
Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam (kanan) membungkus ikan kembung untuk diagihkan kepada penduduk di flat Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor. Foto Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


PERSATUAN Penduduk Taman Cendana di Pasir Gudang, tidak ketinggalan mengambil bahagian membantu penduduk yang terjejas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusinya, Shamsul Bahrin Ibrahim, 47, berkata atas dasar keprihatinan, pihaknya mengambil inisiatif bersama komuniti untuk membantu penduduk yang memerlukan sokongan terutama sepanjang tempoh PKP susulan wabak Covid-19.

Katanya, sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lalu sehingga semalam, sebanyak 1,193 keluarga dibantu menerusi agihan barang keperluan dan makanan.

“Kami menjejaki penduduk terutama penghuni flat yang perlu dibantu kerana mengalami masalah kewangan atau kesulitan lain.

“Jiran- jiran akan menyumbang mengikut kemampuan mereka supaya tidak ada penghuni yang kelaparan ketika berdepan situasi yang getir ketika ini,” katanya flat Taman Cendana mempunyai 49 blok dengan keseluruhan 2,873 keluarga.

Dalam pada itu katanya, inisiatif persatuan penduduk turut disokong dan dibantu oleh pelbagai pihak termasuk wakil rakyat dan syarikat swasta termasuk Pasaraya Econsave.

Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam, berkata, pihaknya menyumbangkan makanan dan keperluan lain kepada penduduk terbabit.

Katanya, lima pembekal sayuran dan hasil laut dari Pontian, Sedenak, Kulai dan Johor Bahru turut menyumbang untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

“Susulan wabak Covid-19, ramai yang terjejas termasuk pembekal kami yang memaklumkan terdapat lebihan sayuran dan bagi mengelak pembaziran maka ia diagihkan kepada orang ramai.

“Hasil kerjasama itu, kami berjaya mengumpulkan tiga tan sayuran seperti petola, timun, kubis, lada merah, kacang panjang, kentang, bawang dan sejumlah 220 kilogram ikan kembung serta selayang untuk diagihkan kepada penduduk di sini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 2:24 PM