GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Hidayah Tanzizi


KESERONOKAN 15 individu termasuk enam wanita berparti terbantut apabila ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dua tingkat di Taman Casa Lapangan, Ipoh, hari ini.

Dalam operasi pada 2.50 pagi, mereka yang ditahan terdiri sembilan lelaki, dua wanita tempatan dan empat wanita warga Indonesia berusia 21 hingga 39 tahun.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang melakukan tugas Op Cantas Covid-19 selepas menerima maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abd Aziz berkata, pihaknya mendapati pintu hadapan rumah berkenaan tidak berkunci dan turut kedengaran bunyi muzik di bilik tingkat bawah.

Menurutnya, pemeriksaan kemudian menemui beberapa lelaki dan wanita sedang leka berhibur dalam bilik berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut menemui dadah jenis ekstasi dalam poket seluar seorang lelaki, selain turut menjumpai sejumlah ketamin pada seorang wanita warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, polis merampas enam peket ketamin, tiga biji pil ekstasi, sehelai seluar jeans dan baju dalam selain enam pembesar suara, dua subwoofer, sebuah televisyen, seunit lampu dan pemacu mudah alih (pendrive).

“Siasatan mendapati rumah berkenaan disewa oleh salah seorang suspek dan saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati 14 individu positif dadah.

“Ketika ditahan mereka gagal memberi alasan munasabah,” katanya.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan Seksyen 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.

Katanya, semua individu terbabit direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 8:39 PM