Islamic Aid Malaysia mengagihkan bantuan keperluan asas kepada 250 keluarga di Lembah Pantai. FOTO Ihsan AIM
Islamic Aid Malaysia mengagihkan bantuan keperluan asas kepada 250 keluarga di Lembah Pantai. FOTO Ihsan AIM
Mahaizura Abd Malik


ISLAMIC Aid Malaysia (AIM) mengagihkan lima tan sumbangan pek makanan asas harian kepada 250 keluarga yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, sumbangan keperluan makanan harian seperti beras, gula, susu, minyak masak, sardin dan biskut itu dibiayai Maybank Islamic Berhad.

“Penerima manfaat terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu tunggal, warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU) yang dikenal pasti layak menerima bantuan.

“Terima kasih kepada Maybank Islamic Berhad yang memberi kepercayaan kepada kami dan prihatin terhadap usaha kemanusiaan yang dilaksanakan IAM,” katanya selepas menyerahkan bantuan itu di Surau An-Nurhidayah, Perumahan Pantai Permai, Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, sebanyak lima tan lagi sumbangan keperluan akan diagihkan di kawasan berhampiran dalam masa terdekat berikutan pihaknya masih lagi dihujani panggilan serta mesej daripada orang ramai yang memohon bantuan.

“Bagi mengurangkan risiko penularan wabak dalam kalangan kakitangan serta sukarelawan yang terbabit, pihak IAM mengambil langkah keselamatan termasuk mengehadkan pergerakan, menyediakan cecair pembasmi kuman, dan mengamalkan proses sanitasi sewajarnya.

“Kami juga menggalakkan penjarakan sosial dalam kalangan kakitangan serta penerima seperti mana diarahkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Beliau turut menyeru lebih banyak syarikat korporat mencontohi usaha Maybank Islamic Berhad dalam menjayakan misi kemanusiaan dan kebajikan kelolaan pihaknya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan, boleh melayari laman web rasmi IAM di www.iam.org.my atau menghubungi talian 03-89485939/019-3973558.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 11:06 PM