ZAWAHIR (kiri) membantu kanak-kanak di perkampungan Kinniya, Sri Lanka mendapatkan air bersih.
ZAWAHIR (kiri) membantu kanak-kanak di perkampungan Kinniya, Sri Lanka mendapatkan air bersih.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Misi kemanusiaan dilaksanakan badan bukan kerajaan, Islamic Aid Malaysia (IAM) tidak terbatas untuk mereka yang berada di Malaysia saja namun melebarkan sayap membantu masyarakat Islam di luar negara.

Misi kali ini membantu golongan yang kurang berkemampuan di sekitar kawasan pedalaman Trincomalee, Sri Lanka dalam program Jejak Prihatin terutama ibu tunggal miskin.

Presiden IAM Zawahir Abdullah berkata, berdasarkan maklumat diterima lebih 2,000 ibu tunggal miskin yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan hidup dalam kemiskinan menghuni kawasan itu.

“Jumlah ibu tunggal yang ramai di kawasan ini berikutan pergolakan politik yang melanda akibat pertelingkahan antara kerajaan dan puak penentang yang berlarutan sehingga kini.

“Rata-rata mereka mempunyai anak yang ramai dan masih lagi bersekolah. Kami ke sini dengan kerjasama sukarelawan IAM di Sri Lanka bagi menyerahkan bantuan berbentuk pek makanan mengandungi barangan keperluan asas tempatan seperti beras, minyak masak, kekacang, kacang dhal, tepung, dan gula,” katanya kepada Harian Metro.

Zawahir berkata, pihaknya turut berkesempatan untuk melawat rumah mereka bagi melihat sendiri kesusahan yang dihadapi dan diharap sumbangan itu dapat meringankan beban dihadapi, malah ia juga sumbangan pertama diterima daripada masyarakat Malaysia.

“Selain itu, IAM turut berkunjung ke kawasan pedalaman di Kinniya, Trincomalee terletak lebih 250 kilometer dari ibu kota Colombo dalam menjayakan program Bekalan Air Bersih,” katanya.

Untuk maklumat lanjut layari laman rasmi Islamic Aid Malaysia di www.iam. org.my atau hubungi Islamic Aid Malaysia di talian 03-89574136 atau 019-3973 558 (Farouq Zauji)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2017 @ 6:37 AM