MOHD Haiqal dituduh di Mahkamah Seksyen Ayer Keroh kerana cubaan membunuh seorang anggota tentera ketika SJR. FOTO Amir Mamat
MOHD Haiqal dituduh di Mahkamah Seksyen Ayer Keroh kerana cubaan membunuh seorang anggota tentera ketika SJR. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan cubaan membunuh seorang anggota tentera di Kem Terendak, Sungai Udang, minggu lalu.

Mohd Haiqal Hamdan, 25, yang juga pekerja kedai makan didakwa cuba membunuh Alexson Franky, 21, dengan melanggar menggunakan kereta jenis Proton Gen 2 berwarna merah ketika operasi sekatan jalan raya (SJR) di hadapan pintu pengawal Kem Terendak, Sungai Udang pada 4.30 petang, 23 Mac lalu.

Perlanggaran itu menyebabkan mangsa cedera di peha kiri dan kanan yang mungkin menyebabkan kematian.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut didakwa gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diperiksa pegawai polis di Jalan Klebang Kecil pada 3 petang, 24 Mac lalu mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan Mohd Haiqal diikat jamin RM8,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu ibunya perlu menjadi penjamin.

Mahkamah menetapkan 18 Mei untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal, manakala tertuduh diwakili peguam, S S Amritpal Singh.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan, tertuduh bersama teman wanitanya, Norsyazlina Mohd Asri, 21 dijatuhkan hukuman penjara setahun kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perintah itu dikeluarkan Majistret Teoh Shu Yee ke atas mereka selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu pada 24 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didapati melanggar PKP ketika operasi SJR di hadapan pondok pengawal Kem Terendak, Sungai Udang, tanpa alasan munasabah.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit yang boleh dihukum di bawah peraturan 7(1) peraturan yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan serta denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 5:40 PM