ANGGOTA bomba melakukan pembersihan dan nyah cemar pada Ops Nyahcemar di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.
ANGGOTA bomba melakukan pembersihan dan nyah cemar pada Ops Nyahcemar di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 136 pegawai dan anggota bomba di seluruh negara menjalani kuarantin di rumah masing-masing bagi tempoh minggu lalu hingga semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, jumlah itu tidak termasuk tiga anggotanya yang disahkan positif Covid-19, minggu lalu.

“Secara keseluruhannya, 139 pegawai dan anggota bomba menjalani ujian saringan Covid-19 dalam tempoh itu. Daripada jumlah berkenaan, tiga individu disahkan positif Covid-19, manakala 25 lagi didapati negatif.

“Pada masa sama, 111 lagi individu masih menunggu keputusan. Mereka yang didapati negatif dan masih menunggu keputusan diarahkan menjalani kuarantin di rumah masing-masing termasuk Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sanitasi Awam di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya, hari ini.

Mohammad Hamdan berkata, tiga kes positif Covid-19 berkenaan membabitkan kontak rapat kepada individu yang menghadiri perhimpunan tabligh di Sri Petaling.

“Saya difahamkan tiga anggota berkenaan terkena jangkitan itu melalui ahli keluarga menjadikan mereka tergolong dalam kategori generasi kedua,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 12:43 PM