Zuhainy Zulkiffli


KESEMUA gelandangan dan kutu rayau di sekitar kawasan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown akan ditempatkan di Kompleks Masyarakat Penyayang, Jalan Utama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata, sehingga malam tadi, seramai 72 golongan itu sudah dikenal pasti dan dibawa ke kompleks berkenaan.

Katanya, ia turut mendapat kerjasama dan pemantauan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan langkah berjaga-jaga ketika menyelamatkan golongan itu.

“Di kompleks berkenaan, mereka akan membersihkan diri menggunakan kemudahan yang ada selain disediakan makanan. Mereka akan tinggal di situ sehingga tamat tempoh PKP.

“Inisiatif ini turut membabitkan beberapa badan bukan kerajaan termasuk sebuah hospital swasta,” katanya kepada media malam tadi.

Terdahulu, Phee bersama sepasukan pihak berkuasa dan NGO turut meninjau proses pemindahan gelandangan dan kutu rayau berkenaan.

Gelandangan dan kutu rayau itu turut menjalani ujian saringan kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga mencegah penularan wabak Covid-19 sebelum dibawa ke kompleks berkenaan.

Mengulas lanjut Phee berkata, pihaknya akan cuba memujuk waris atau keluarga supaya membawa pulang gelandangan serta kutu rayau itu.

“Jika golongan itu sudah ditempatkan di kompleks, mereka atau waris sudah tidak boleh berjumpa bagi mengurangkan pergerakan keluar dan masuk.

“Ini adalah antara dasar kerajaan negeri bagi memastikan tiada golongan yang tidak bernasib baik, tercicir daripada menerima sebarang bantuan,” katanya.

Sementara itu, lelaki yang mahu dikenali sebagai Mohd, 55, berkata dia sudah bergelandangan sejak lebih 10 tahun lalu di sekitar Pulau Pinang

Katanya, dia maklum mengenai bahaya Covid-19 yang menular di China dan hanya tahu virus itu juga boleh berjangkit menerusi sentuhan.

Namun, daripada pemahamannya, dia tidak tahu virus berkenaan sudah merebak ke Malaysia dan menyebabkan kematian.

“Hendak berteduh di mana pun kami tidak tahu dan setiap malam bila tiada orang, kami datang ke sini untuk tidur.

“Memang gembira dapat tempat yang selamat dan walaupun hanya sementara, itu lebih baik daripada terdedah dengan dengan pelbagai penyakit di sini,” katanya.

  • Lagi berita

    berkaitan Covid-19

  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 9:21 AM
    GELANDANGAN dan kutu rayau menjalani saringan kesihatan sebelum dibawa ke Kompleks Masyarakat Penyayang. FOTO Zuhainy Zulkifli.
    GELANDANGAN dan kutu rayau menjalani saringan kesihatan sebelum dibawa ke Kompleks Masyarakat Penyayang. FOTO Zuhainy Zulkifli.