HOSPITAL Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. FOTO Arkib NSTP
HOSPITAL Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. FOTO Arkib NSTP
Baharom Bakar


AHLI keluarga petugas kesihatan barisan hadapan memerangi Covid-19 di Terengganu akan menerima bantuan ‘one-off (sekali bayar) sebanyak RM500.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda, menjelaskan seramai 38 ahli keluarga akan menerima bantuan berjumlah RM19,000 itu.

Jelasnya, senarai petugas terbabit diperolehi daripada Jabatan Kesihatan negeri.

“Ahli majlis MAIDAM bersetuju memberi bantuan ‘one-off’ itu sebagai menghargai peranan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Osman menambah, MAIDAM juga menyalurkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk pembelian pelbagai peralatan dan kelengkapan perubatan.

“Kita hanya menyalurkan peruntukan kewangan dan pembelian kelengkapan serta peralatan akan diuruskan pengurusan HSNZ,” katanya.

Mengenai bantuan makanan kepada semua petugas di barisan hadapan hospital, Osman menjelaskan, MAIDAM meluluskan peruntukan sebanyak RM33,000 untuk membekalkan makanan kepada semua petugas di HSNZ dan Hospital Hulu Terengganu (HHT).

Jelasnya, bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan di HSNZ dan HHT, masing-masing membabitkan peruntukan RM30,000 dan RM3,000 itu disalurkan sejak penularan Covid-19.

“Ia berikutan kesukaran petugas di HSNZ dan HHT mendapatkan bekalan makanan berikutan Perintah Larangan Pergerakan (PLP) dikuatkuasakan kerajaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 9:27 AM