Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
Yun Mikail


SEBANYAK RM553 juta peruntukan tambahan sudah diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi pelaksanaan Pakej Bantuan Covid-19 di negeri berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan Pertama 2020 berkata, peruntukan berkenaan bertujuan menangani penularan wabak Covid-19 serta mentadbir urus negeri dengan lebih baik.

“Menerusi jumlah itu, RM75 juta bakal diperuntukkan kepada Jabatan Ketua Menteri (JKM) manakala peruntukkan khas untuk membiayai perbelanjaan kecemasan Covid-19 sebanyak RM50 juta.

“Selain itu, RM10 juta diberikan bagi bantuan makanan dan keperluan golongan petugas di barisan hadapan dan RM15 juta untuk bantuan keperluan bahan makanan di semua kampung terjejas,” katanya membentangkan RUU berkenaan pada persidangan hari kedua mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke 15, dekat Kota Kinabalu, hari ini.

RUU berkenaan dibahas tiga wakil rakyat iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambunan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Adun Kuamut, Datuk Masiung Banah dan Adun Kemabong, Jamawi Jaafar.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata kerajaan turut menyediakan peruntukan RM50 juta kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi membiayai bantuan wang tunai ‘one-off’ RM300 kepada 169,630 petani, nelayan dan penternak yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, RM24 juta juga akan disalurkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) bagi membiayai bantuan tunai ‘one-off’ RM300 kepada 62,638 warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan anak yatim manakala RM2 juta disediakan kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita, Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

“RM62 juta pula akan diberikan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk membantu 38,203 golongan miskin dan miskin tegar menerusi pembayaran ‘one-off’ RM500.

“Kementerian Kewangan bakal menerima peruntukan sebanyak RM340 juta untuk perbelanjaan merangsang sektor ekonomi negeri melalui penyediaan pelbagai bantuan kepada usahawan.

“Daripada jumlah itu, RM90 juta diagihkan untuk penyediaan Dana Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta Skim Kredit Mikro yang dikendalikan Perbadanan Pinjaman Sabah.

“Peruntukan lebih RM200 juta pula disediakan untuk pelaksanaan projek-projek kecil yang dijangka boleh membiayai pelaksanaan 1,000 projek menambah baik kualiti, liputan infrastruktur dan kemudahan asas di luar bandar,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 4:33 PM