PENDUDUK menerima bantuan keperluan harian sumbangan Masjid An Nur Peringgit berikutan tiada gaji susulan PKP. FOTO NAZRI ABU BAKAR
PENDUDUK menerima bantuan keperluan harian sumbangan Masjid An Nur Peringgit berikutan tiada gaji susulan PKP. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


LEBIH 60 pekerja bergaji harian menerima bantuan barangan keperluan dapur disumbangkan Masjid An-Nur Peringgit, Melaka, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha masjid terbabit, Muhammad Tarmizi Muhammad Nasir berkata, barangan keperluan harian termasuk beras, garam, gula, Milo, sardin, biskut dan tepung bernilai RM100 setiap keluarga itu bertujuan meringankan beban mereka yang tidak bergaji sepanjang tempoh PKP.

Katanya, mereka termasuk yang bekerja di kedai cuci kereta, pembantu kedai makan, tukang masak dan pekerja pembersihan yang terputus sumber kewangan berikutan tidak dapat keluar bekerja dalam tempoh terbabit.

“Mereka boleh mendapatkan keperluan berkenaan di dua kedai runcit di Peringgit bagi memudahkan keluarga mendapatkan keperluan harian.

“Jawatankuasa masjid memahami kesukaran mereka untuk menanggung keluarga berdasarkan gaji dibayar secara harian yang bermakna ‘tiada kerja tiada gaji,” katanya.

Beliau berkata, sumbangan menerusi tabung masjid itu jelas menghilangkan kedukaan ahli kariah yang terbeban dengan situasi berkenaan.

Penerima, Patemah Jaaman berkata, dia gembira dan bersyukur atas sumbangan berkenaan yang meringankan perbelanjaan harian akibat tidak dapat bekerja.

Menurutnya, dia amat terharu atas sokongan itu, sekali gus mampu menampung keperluan sepanjang PKP dilaksanakan sehingga 14 April ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 6:08 PM