Amir Mamat


Melaka: Proses pendaftaran golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dipermudahkan apabila mereka hanya perlu mendaftar secara atas talian menerusi sistem MyDaftar OKU.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, langkah itu adalah inisiatif kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menambah baik sistem pendaftaran sedia ada menerusi penggunaan platform Sistem Maklumat OKU (SMOKU).

Beliau berkata, sistem itu akan memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan kepada OKU dalam urusan pendaftaran selari dengan Teras Strategik 8: Pelan Tindakan OKU 2016-2022 yang menggariskan mengenai keperluan mewujudkan pangkalan data OKU dan sistem maklumat yang komprehensif bagi meningkatkan pendaftaran golongan itu.

Rina Harun semasa sidang media selepas melancarkan MyDaftar OKU di Rumah Bistari Peringgit, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Rina Harun semasa sidang media selepas melancarkan MyDaftar OKU di Rumah Bistari Peringgit, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD

"Sistem MyDaftar OKU yang boleh diakses bermula bulan ini adalah penting bagi membolehkan pihak kerajaan membuat perancangan teliti secara holistik selain dapat menggubal dasar bersesuaian dengan keperluan OKU berdasarkan data tepat serta menyeluruh.

"Ia juga bagi memastikan tiada golongan OKU yang tercicir dan ketinggalan daripada perhatian kerajaan serta mendapat kesaksamaan dan peluang di dalam kelompok masyarakat," katanya selepas melancarkan MyDaftar OKU di Bukit Peringgit, di sini, tadi.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr Maziah Che Yusoff dan Pengerusi Pertubuhan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Melaka, Dr Mazidah Said.

Mengulas lanjut, Rina berkata, menerusi MyDaftar OKU, kad perakuan akan disediakan dalam bentuk digital dengan pemohon hanya perlu mengemukakan maklumat termasuk pengesahan perubatan menerusi laman web MyDaftar OKU.

Katanya, kelulusan bagi setiap pendaftaran menerusi sistem berkenaan akan diperoleh dalam tempoh 24 jam berbanding 14 hingga 30 hari bekerja sebelum ini.

"Fokus MyDaftar OKU ini adalah kepada individu `istimewa' yang belum mendaftar sahaja manakala OKU yang sudah berbuat demikian sebelum ini tidak perlu lagi mendaftar kerana secara berperingkat kita akan menukar pendaftaran mereka ke dalam sistem baharu itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 4:17 PM