DATUK Seri Fatimah Abdullah mengadakan rondaan gelandangan di sekitar Kuching, hari ini. FOTO Melvin Joni
DATUK Seri Fatimah Abdullah mengadakan rondaan gelandangan di sekitar Kuching, hari ini. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


GELANDANGAN di seluruh negeri ini akan ditempatkan di penginapan sementara bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, gelandangan yang dikesan akan dibawa ke tempat tinggal sementara selain diberi makanan.

“Kita cuba bantu gelandangan dalam tempoh Covid-19 menular ini kerana mahu mereka kekal selamat, kita takut mereka bergerak ke sana ke sini.

“Kita akan menyediakan makanan dan membawa mereka ke tempat tinggal sementara seperti di Anjung Singgah di Kuching, Rumah Rehat di Sibu manakala bagi Miri, kita masih mencari tempat yang sesuai,” katanya semasa mengadakan rondaan gelandangan di sekitar bandar raya ini, hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan membantu mendapatkan penyelesaian tetap untuk gelandangan yang dibawa ke tempat tinggal sementara.

Menurut Fatimah, pihaknya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan gelandangan.

Katanya, setakat semalam, seramai 114 gelandangan dikesan terdiri daripada 83 lelaki dan 31 wanita.

Menjelas lanjut, beliau berkata Kuching, Sibu dan Miri merekodkan bilangan paling ramai iaitu masing-masing 44, 21 dan 17 orang diikuti Bintulu (15 orang), Kapit (7 orang) dan seorang di Samarahan, Serian serta Betong.

“Sesetengah mereka adalah yang mengalami masalah mental dan terbabit dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.

Sementara itu, Fatimah berkata kementeriannya bersama JKM akan turut menghulurkan bantuan kepada keluarga miskin yang terputus bekalan makanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami terbuka untuk permohonan yang munasabah. Katakan terputus bekalan makanan khususnya membabitkan keluarga miskin, kakitangan kami akan turun padang melihat keadaan mereka dan kalau betul, kami akan berikan bantuan makanan kering seperti beras, gula, teh, kopi dan sebagainya.

“Atau kalau keluarga yang sangat daif, kami akan memberi bantuan segera termasuk wang tunai,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 4:11 PM