AHMAD Zahid hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Hafiz Sohaimi
AHMAD Zahid hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Hafiz Sohaimi
Sarah Zulkifli


AHLI Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, bahawa beliau diarahkan menandatangani satu akuan bersumpah berkaitan penggunaan dana yayasan itu untuk pembayaran bil kad kredit berjumlah RM805,768.16 milik bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Datuk Khairuddin Tarmizi, 55, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, Perak mendedahkan perkara itu ketika membacakan penyataan saksi, dalam perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi Ahmad Zahid di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Saksi pendakwaan ke-15 itu berkata, beliau bertindak menandatangani akuan bersumpah itu selepas diminta oleh seorang peguam bernama Murali (Muralidharan) dalam satu pertemuan di sebuah restoran di Bangsar pada 20 April 2017.

“Saya menandatangani dokumen itu secara sukarela selepas Murali memberikan penjelasan bahawa kandungan akuan bersumpah itu adalah mengenai wang bil kad kredit Ahmad Zahid yang sudah dibayar balik kepada yayasan,” katanya.

Menurut saksi sama, beliau berfikir bahawa wang terdapat dalam dana Yayasan Akalbudi boleh digunakan untuk membayar bil Ahmad Zahid berikutan sejumlah besar dana terdapat dalam akaun yayasan adalah wang peribadi disalurkan oleh beliau.

“Sejurus menyedari ini satu kesilapan, saya meminta Ahmad Zahid untuk memulangkan wang itu dan difahamkan beliau sudah memulangkan dana milik yayasan ini,” katanya.

Terdahulu, saksi sama memberitahu mahkamah bahawa tiga perenggan yang terkandung akuan bersumpah yang ditandatanganinya pada 2017 berhubung pembayaran balik dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM805,768.16 oleh Ahmad Zahid Hamidi adalah tidak benar.

Akuan bersumpah dalam Bahasa Inggeris itu dibangkitkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran ketika sesi soalan tambahan.

RAJA ROZELA: Berdasarkan perenggan keempat dalam akuan bersumpah itu, adakah YB menerima sebarang bil kad kredit daripada Ahmad Zahid untuk dibayar?

KHAIRUDIN: Tiada.

RAJA ROZELA: Berdasarkan perenggan kelima akuan bersumpah, adakah YB guna mana-mana cek atau dana dari Yayasan Akalbudi untuk membayar kad kredit bagi Ahmad Zahid?

KHAIRUDIN: Tiada.

RAJA ROZELA: Berdasarkan perenggan keenam, pernahkah YB meminta Ahmad Zahid memulangkan semula duit yayasan digunakan?

KHAIRUDDIN: Tiada.

RAJA ROZELA: Berdasarkan jawapan anda berkaitan perenggan keempat, kelima dan keenam, adakah kandungan akuan bersumpah ini benar?

KHAIRUDDIN: Tidak

RAJA ROZELA: Berdasarkan akuan bersumpah, adakah YB pernah bantu Ahmad Zahid untuk pulangkan semula duit yayasan yang telah digunakan.

KHAIRUDDIN: Tidak.

Khairuddin turut memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak menulis akuan bersumpah itu dan sebaliknya menandatanganinya saja.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018, serta 20 Februari tahun ini Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 66, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perbicaraan bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 6:28 PM