Amir Abd Hamid

KERAJAAN bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyokong usaha menangani Covid-19.

Peruntukan ini antara lainnya digunakan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan Unit Rawatan Kecemasan (ICU), peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehubungan itu untuk menyegerakan pembelian barangan kritikal, kerajaan sudah meluluskan tatacara perolehan secara darurat.

PERUNTUKAN RM100 juta disediakan kepada KKM untuk melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya jururawat. FOTO BERNAMA
PERUNTUKAN RM100 juta disediakan kepada KKM untuk melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya jururawat. FOTO BERNAMA

“Selain itu, peruntukan sebanyak RM100 juta juga disediakan kepada KKM untuk melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya jururawat.

“Ramai jururawat dan kakitangan hospital yang amat keletihan pada masa ini kerana mereka terpaksa bekerja siang dan malam untuk membuat saringan kes Covid-19 dan merawat mereka yang disahkan positif.

“Saya berharap pengambilan kakitangan baharu ini dapat dibuat dengan segera supaya semua hospital di negara kita mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk menangani penularan wabak Covid-19,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media khas di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 2:48 PM