KAUNTER saringan berkenaan.
KAUNTER saringan berkenaan.
Hamzah Osman


PEJABAT Kesihatan Daerah (PKD) Langkawi membuka kaunter saringan Covid-19 kepada orang ramai selama tiga hari bermula semalam di Klinik Kesihatan Kuah, di Langkawi.

Ia sebagai langkah berjaga-jaga dan mempertingkat pencegahan virus berbahaya itu menular di sekitar pulau pelancongan itu.

PKD Langkawi menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya semalam, memaklumkan kaunter saringan itu dibuka mulai 9 pagi sehingga 12 tengah hari.

“Boleh datang jika ada sejarah pergerakan ke negara-negara disenaraikan berisiko atau pernah berhubung rapat, selain bersentuhan dengan pesakit yang disahkan dijangkiti Covid-19.

“Sekiranya mempunyai sejarah ke Perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur juga perlu hadir,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, jika tiada simptom atau sejarah pergerakan ke negara berisiko serta tidak berada di Perhimpunan Ijtimak Tabligh, mereka perlu kekal berada di rumah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 8:51 AM